KUALA LUMPUR: Penyanyi Akim Ahmad mengakui jiwanya sunyi dan kosong selepas Allahyarham ibunya, Aminah Bahari meninggal dunia pada 5 Mei lalu. Akim atau Afiq Akim berkata dia berada di dalam industri seni adalah disebabkan berkat doa ibunya. "Saya dalam industri seni sebenarnya disebabkan berkat doa ibu. Tanpa doa dia, saya rasa tak ada upaya untuk langkah lebih jauh. "Apabila dia dah tak ada, saya rasa sunyi dan kosong. Apa yang saya lakukan selama ni hanya demi dia. "Tak ada paksaan daripada arwah, tak ada saya di sini. Satu perasaan yang sangat-sangat sedih. Tak pernah rasa sedih seperti ini," kata Akim kepada mStar Online. Sehingga kini suami kepada penyanyi Stacy ini tidak pernah mendedahkan punca kematian ibunya. Foto kenangan Akim bersama Allahyarham ibunya. Tambah Akim lagi, dia mengambil masa lebih satu bulan untuk bangkit meneruskan kehidupannya. Menurut vokalis kumpulan Akim & The Majistret ini, dia mendapat kekuatan semula apabila mengingati pesanan arwah ibunya. "30 hingga 40 hari juga saya dapat balik keyakinan dan semangat untuk sambung semula kerja-kerja yang tertangguh. "Sebelum arwah pergi, dia ada berpesan kepada saya. Sebagai anak lelaki, saya perlu jadi kuat. Macam mana pun kena kuat. "Itu yang membuatkan saya berfikir untuk teruskan hidup, jangan kenang sangat, tidak elok juga untuk orang yang sudah tiada," ujarnya. Keluarga sumber kekuatan Akim. Dalam pada itu, Akim juga memberitahu dia mendapat kekuatan dan sokongan daripada orang sekeliling terutama isteri, Stacy dan bapanya. "Saya tak nak lihat ayah bersedih. Kalau ikutkan, dia yang paling sedih sebab kehilangan yang besar buat seorang suami. "Tugas seorang anak bagi semangat dan sokongan moral untuk dia rasa tenang dan tak memikirkan sangat tentang arwah ibu saya," katanya. Akim, 27, berkahwin dengan Stacy atau Ummu Syaikhah Stacy Anam, 28, di Hotel Shangri La Tanjung Aru, Kota Kinabalu, Sabah pada 5 Februari 2016. Mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Eshaal yang kini berusia setahun dan mereka turut mempunyai anak angkat, Bella, 6 tahun.