PETALING JAYA: Pelakon filem Abang Long Fadil 2, Mas Khan terpaksa menjalani pembedahan pada bahagian lutut kanannya selepas mengalami kecederaan dikenali sebagai 'ligament anterior cruciate' (ACL). Mas atau Mas Hidzir Khan Mas Fadzillah, 24, berkata, pembedahan itu terpaksa dilakukan kerana dia sudah tidak dapat menanggung kesakitan sejak mengalami kecederaan itu pada April lalu. "Saya mengalami kecederaan itu ketika menjalani penggambaran telefilem Misteri Maria pada April lalu tetapi ia bukan ketika bekerja. "Masa tu saya sedang duduk dan berpaling ketika ada orang memanggil saya... Ketika itulah tiba-tiba saya terdengar bunyi meletup dari lutut saya. "Sejak itu saya menahan sakit dan hari ini baru dapat buat pembedahan," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Isnin. Doktor membuat tanda pada kaki Mas yang akan dibedah. Mas dijangka menjalani pembedahan itu di sebuah hospital swasta di ibu negara pada petang Isnin. Dalam pada itu, Mas berkata, dia memilih untuk menjalani pembedahan itu kerana tidak mahu kecederaan dialaminya bertambah melarat yang akan menyebabkan masalah lain. Kata Mas, disebabkan pembedahan itu dia akan berehat daripada dunia lakonan selama dua bulan bagi membolehkan dia menjalani rawatan fisioterapi. "Alhamdulillah jika tiada sebarang masalah, tempoh untuk saya kembali pulih adalah dua bulan tetapi kena rajin buat fisioterapi selepas pembedahan. "Kebetulan jadual saya pun lapang sekarang, jadi boleh tumpukan kepada fisioterapi sebelum kembali ke set penggambaran," katanya.