PELAKON Fadlan meluahkan rasa sedih apabila terpaksa menjual kereta kesayangannya yang banyak berjasa ketika dia mula menceburi bidang seni.
Fadlan, 26, berkata, kereta jenama Suzuki Aerio itu merupakan kenderaan pertama yang digunakan ketika berusia 18 tahun.
"Hari ini sangat sedih dan sentimental kerana saya terpaksa menjual kereta kesayangan yang banyak berjasa sejak berumur 18 tahun lagi.
"Alasan terpaksa jual sebab kereta ini 'rare' dan alat ganti dah tak wujud lagi di Malaysia," ujarnya pada Isnin.
Mengimbau kenangan lalu, pelakon Papa Ricky ini berkata, kereta tersebut digunakan pada awal kerjayanya yang pernah menjadi pelakon tambahan dan ahli sebuah kumpulan muzik suatu masa dahulu.
Tambahnya, kereta itu juga pernah dijadikan sebagai rumah untuk beberapa minggu ketika hidupnya berada dalam keadaan terumbang-ambing.
"Kereta ini yang banyak membantu menggerakkan perjalanan saya di awal kerjaya, mula-mula jadi pelakon tambahan lepas itu jadi budak boyband kejap.
Fadlan turut memuat naik gambar kenangannya ketika menggunakan kereta tersebut.
"Pernah jadi rumah saya selama beberapa minggu kerana ada satu masa tu masa hidup saya ini agak terumbang-ambing.
"Macam-macam pengalaman dengan kereta ni gembira, sedih, otak bercelaru, gila muda-mudi, gementar menggigil dalam kereta sebab nak masuk set, tempat menjana idea dan tempat berlatih," ujarnya.
Fadlan berkata, dia terpaksa menjual kenderaan itu berikutan sudah tidak lagi mampu untuk menanggung kos membaiki yang agak tinggi.