suria

Selepas 14 tahun, Dira tunaikan impian ibu jumpa Hishamuddin

Dira Abu Zahar bersama Datuk Seri Hishamuddin.

PELAKON Dira Abu Zahar meluahkan rasa gembiranya apabila dapat bertemu dengan Datuk Seri Hishamuddin Hussein selepas dipilih menjadi Ahli Majlis Tertinggi Umno (MT) dalam pemilihan 30 Jun lalu.

Dira atau nama sebenarnya Khaidhirah Abu Zahar, 34, berkata, ia merupakan impian ibunya Datin Seri Khadijah Mohamad Jiddy yang mahu dia bertemu dengan bekas Menteri Pertahanan itu.

"14 tahun sudah, pertama kali jumpa di majlis persandingan abang saya, Datuk Seri Hishamuddin bertanya kepada emak jika ada mana-mana anak yang terlibat dengan politik.

"Emak menunjuk abang saya yang ketika itu menyertai Pemuda Umno dan saya ketika itu hanya memenangi pilihan raya kampus (MPP).

"Anda (Hishamuddin) beritahu mak saya untuk membawa sesiapa dari kami bertemu dengan anda untuk tujuan bimbingan politik," ujarnya di Instagram.

Dira merupakan anak kepada bekas Ketua Menteri Melaka pada 23 Mei 1997 sehingga 2 Disember 1999 Datuk Seri Abu Zahar Ithnin. 

Allahyarham meninggal dunia pada 11 Julai 2013 di kediamannya di Merlimau, akibat kencing manis dan komplikasi buah pinggang.

Dira bersama ibunya Datin Seri Khadijah

Pelakon filem Kimchi Untuk Awak itu memuat naik foto bersama Hishamuddin dalam pertemuan pertama mereka selepas mesyuarat MT pertama berlangsung.

Dalam pada itu, Dira berkata, ibunya mula meminta dia untuk bertemu dengan Hishamuddin sejak dia memeggang jawatan sebagai exco Puteri Umno lagi.

"Emak sentiasa mengingatkan saya untuk bertemu dengan beliau ketika saya menjadi exco Puteri Umno lagi. Segan yang amat untuk berjumpa orang hebat macam Datuk Seri.

"Tapi selepas mesyuarat pertama MT, beliau menjemput saya untuk datang ke rumah dan berjumpa. Saya datang dan kami berbual panjang," ujarnya.

Dalam pada itu, Dira menzahirkan rasa syukur apabila doa ibunya selama ini akhirnya termakbul.

Kata Dira, Hishamuddin turut meninggalkan kata-kata semangat kapadanya untuk dia meneruskan perjuangan parti tersebut.

"Impian emak menjadi nyata. Sekali lagi, doa emak itu paling mustajab. Saya harap ayah ada disini, tapi saya tahu dia sedang melihat dari atas sana," ujarnya.

Dira Abu Zahar

Artikel Lain