SEKEPING foto yang dimuat naik pelakon dan penyanyi Farahdhiya ketika menghadiri majlis di Istana Negara pada Selasa lalu mendapat perhatian netizen. Farah, 33, yang berpenampilan menggayakan baju kurung berwarna merah jambu itu ditegur tentang berat badan dan perut dikatakan buncit. Bagaimanapun, penyanyi lagu Bertakhta Di Hati ini menepis tuduhan itu dan menyifatkan ia hanyalah refleksi cahaya. "Itu hanya kilauan dari baju bukan perut buncit ye, terima kasih" ujarnya membalas komen seorang individu. Farahdhiya akan sekat akaun tulis kata negatif. Dalam pada itu, Farah turut menegur tindakan segelintir netizen yang terlalu cepat menilai orang lain. Tambahnya, lebih baik berdiam daripada menulis perkara yang tidak baik dan berfaedah. "Kesimpulannya jangan cepat sangat nak menilai orang lain. Kalau tiada benda yang elok dan berfaedah untuk diperkatakan elok la tak payah komen apa sahaja. "Gunalah jari-jari itu untuk menyampaikan benda yang baik dan berfaedah," ujarnya. Dalam pada itu, Farah berkata, dia akan menyekat mana-mana akaun yang meninggalkan kata-kata negatif di laman sosialnya itu. "Kadang-kadang orang akan cuba mendedahkan apa yang salah tentang kamu, walaupun mereka tidak dapat mencari apa salah itu dan mencipta sesuatu yang dikatakan salah. "Jika ada kata-kata negatif yang anda tinggalkan di Instagram saya, saya akan terus block anda. Saya ada perkara lain yang lebih baik untuk dilakukan," ujarnya.