PELAKON dan penyanyi Alif Satar mendedahkan rahsia awet muda bapa sauadaranya yang juga penyanyi Datuk Nassier Wahab. Alif atau Muhammad Alif Mohd Satar, 28, berkata Nassier mengamalkan surah Yusuf sejak dahulu lagi menjadikan dia masih tampan pada usianya yang kini mencecah 56 tahun. Malah, penyanyi lagu Sungguhnya itu menganggap Nassier sebagai salah seorang idolanya dalam bidang muzik. Nassier adalah bapa saudara Alif. "Ini bapa saudara saya @nassierwahab. Di sebelah kiri itu dia sedang bermain keyboard milik ayah di rumah lama saya pada 20 tahun lalu dan saya tersenyum hingga telinga. "Pak cik Nassier ni suka baca surah Yusuf dan itu menjelaskan kenapa dia sentiasa kelihatan kacak. "Sudah tentu salah seorang wira muzik saya ketika membesar. Terima kasih pak cik Nassier!" tulis Alif menerusi Instagram miliknya. Nassier sentiasa menjaga penampilan dan kesihatannya. Alif juga ada memuat naik perbandingan foto bersama Nassier ketika 20 tahun yang lalu dan terkini. Rata-rata pengikut di laman sosialnya turut bersetuju melihat wajah Nassier yang tidak banyak berubah dan kelihatan muda. Sebelum ini, Nassier juga banyak berkongsi kisah kehidupannya dan bagaimana cara dia menjaga kesihatan.