suria

Mei Fen Lim berubah selepas bergaul dengan bangsa lain

Mei Fen pernah menangis apabila mendengar lagu Warisan nyanyian Allayarham Datuk Sudirman Arshad. Foto: MOHD FATHI.

KUALA LUMPUR: Pelakon berbangsa Cina, Mei Fen Lim pernah mempunyai perspektif yang berbeza mengenai bangsa lain.

Namun, tanggapan Mei Fen, 31, berubah selepas dia menyambung pelajarannya di Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara) pada tiga tahun lalu.

"Sebelum ini saya tidak fasih berbahasa Melayu menyebabkan saya enggan bergaul dengan rakan berbangsa lain namun perspektif berubah selepas menuntut di Aswara.

"Kini saya sedikit demi sedikit dah boleh bertutur dalam bahasa Melayu. Malah, ketika bulan Ramadan, saya belajar untuk berpuasa melalui rakan sebilik.

"Apabila kita bergaul dengan rakan berbangsa lain, kita bukan sahaja mempelajari bahasa mereka malah budaya dan agama juga," katanya kepada mStar Online.

Mei Fen ditemui pada majlis pelancaran teater Tanah Akhirku di Istana Budaya, di sini pada Khamis.

Mei Fen Lim kini boleh bertutur dalam bahasa Melayu.

Selain itu, pelakon We Were The Best ini juga pernah menangis apabila mendengar lagu Warisan dendangan Allahyarham Datuk Sudirman Arshad.

Situasi itu berlaku setelah dia memahami dan mendalami makna setiap perkataan dalam bahasa Melayu.

"Saya bermula dalam industri hiburan Melayu tanpa memahami maksud setiap perkataan pun.

"Malah, ketika memegang watak sebagai Puteri Hang Li Po menerusi pementasan teater Takhta 3 Ratu beberapa tahun lepas saya sekadar menghafal skrip.

"Tapi bila dah mengerti setiap perkataan dalam lirik lagu Warisan, saya menangis kerana ia sangat menyentuh hati dan membuatkan saya bangga menjadi rakyat Malaysia," ujarnya.

Dalam pada itu, Mei Fen teruja apabila Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani menawarkan nashkahnya, Tanah Akhirku untuk dipentaskan.

Barisan pelakon teater Tanah Akhirku. Antaranya, Nina (dua dari kiri), Mei Fen Lim, Erma Fatima dan Izzue Islam.

"Saya sangat terharu apabila Abang Jo (Datuk Mohamed Juhari) sendiri menawarkan untuk dipentaskan di Istana Budaya.

"Ini adalah satu pengiktirafan bermakna buat saya dan seluruh produksi teater itu.

"Teater itu bakal diangkat menjadi salah sebuah pementasan sempena kemerdekaan dan diharapkan mesej perpaduan kami akan disampaikan secara lebih meluas," katanya.

Teater Tanah Akhirku turut dibintangi Izzue Islam, Erma Fatima, Nina Nadira dan Angeline Tan.

Ia dijangka dipentaskan pada 28 Ogos hingga 2 September depan.

Mei Fen Lim

Artikel Berikut

Artikel Lain