suria

Dilabel pengacara gedik, Janna Nick terima segala kritikan

Janna terbuka dengan kritikan yang membina dan menghormati pandangan orang lain.

PETALING JAYA: Pelakon Janna Nick menghargai kritikan yang membina dan menghormati pendapat orang lain kerana dia ingin menjadi lebih baik.

Janna atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner, 23, berkata dia percaya ada cara yang lebih baik untuk memberi kritikan atau mesej dan dia terbuka untuk menerimanya.

"Saya hormat pendapat orang lain dan hargai kritikan membina. Sebab saya mahu memperbaiki diri menjadi lebih baik.

"Saya percaya sentiasa ada cara untuk menghantar mesej itu secara positif dan saya terbuka untuk terimanya," tulis Janna menerusi laman Twitter miliknya pada Selasa.

Status yang dimuat naik Janna pada Selasa.

Janna memuat naik status tersebut selepas beberapa hari pelakon Syazwan Zulkifly mengkritik cara dia mengendali program Melodi pada Ahad lalu.

Rata-rata pengikut di laman sosial Janna turut memberi kata-kata semangat dan positif.

Sebelum ini, Syazwan meluahkan rasa kurang senangnya terhadap pengacara Melodi yang mengacarakan program tersebut dan menyamakan industri hiburan dengan 'monyet'.

Malah, pelakon Aiman Hakim Ridza turut meninggalkan komen memberi pandangan yang sama dan menganggap pengacara program itu tidak tahu menghormati orang lain.

Syazwan dan Aiman mengkritik pengacara Melodi yang dipercayai Janna.

"Betul. Pengacara Melodi hari ini (Ahad) tak hormat orang (kebanyakkan). Syok sendiri dengan lawak b*d*h. Sangat tidak matang," tulis Aiman.

Menerusi temu bual bersama mStar Online pada Selasa, Syazwan bagaimanapun memohon maaf sekiranya kata-katanya menguris hati Janna dan peminat pengacara itu.

Rancangan hiburan mingguan itu disiarkan setiap hari Ahad pukul 12 tengahari di TV3 menampilkan Janna Nick serta Ajak Shiro sebagai hos.

Artikel Lain