suria

Fasha Sandha pilih hidup sederhana, ajar anak berdikari

Fasha boleh bekerja seorang dan berjalan tanpa peneman atau pembantu peribadi. Foto Instagram: @fashasandha.

SHAH ALAM: Pelakon Fasha Sandha lebih selesa menjalani kehidupan bersederhana sejak dahulu lagi.

Fasha, 34, berkata dia tidak kisah untuk menguruskan dirinya sendiri dan bersiar-siar di pusat beli-belah tanpa peneman atau pembantu peribadi.

"Saya sememangnya seorang yang bersederhana sejak dahulu sampai sekarang. Saya boleh bekerja seorang dan berjalan tanpa ada peneman atau pembantu peribadi.

"Lebih selesa dengan kehidupan sederhana. Saya boleh hidup seperti orang biasa," kata Fasha kepada mStar Online.

Fasha ditemui ketika majlis rumah terbuka syarikat pengurusannya, Mind Order di Kache Event Hall, di sini baru-baru ini.

Fasha selesa jalani kehidupan bersederhana.

Tambah Fasha, dia sedang mencuba untuk mengajar dua orang anaknya, Putra Rayfal dan Putri Raysha Jemaima menjalani kehidupan seperti itu.

Menurut pemilik nama Nur Fasha Sandha Hassan ini, dia lebih gemar menggunakan cara lama untuk mendidik anak-anaknya.

"Saya sedang sedaya upaya untuk mengajar anak-anak menjadi sederhana sebab mereka buka mata sahaja sudah berada dalam kehidupan yang selesa.

"Tetapi saya selalu ajar mereka macam mana untuk jalani kehidupan seperti orang biasa. Kadang-kadang saya bawa mereka naik kemudahan awam seperti LRT.

"Nak bagi mereka rasa kehidupan sebegitu. Cara saya membesarkan anak-anak seperti orang lama," ujarnya.

Fasha mengajar anak-anaknya untuk melalui kehidupan seperti orang biasa.

Dalam pada itu, pelakon drama popular Syurga Yang Kedua ini juga sentiasa berkomunikasi dengan anaknya.

Malah, dia hanya memberikan Rayfal dan Raysha menggunakan gajet dalam seminggu dua kali sahaja.

"Saya sentiasa lebihkan komunikasi dengan mereka seperti membaca buku cerita sebelum tidur.

"Selain itu, saya hadkan penggunaan gajet. Seminggu dua kali dan tak akan biarkan mereka guna sepanjang hari. Sehari dalam satu jam sahaja," katanya.

Fasha pernah berkahwin dengan Rizal Ashram Ramli atau Jejai pada 27 April 2012 sebelum bercerai pada 20 Januari 2016.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata Rayfal, 5, dan Raysha, 4.

Fasha Sandha

Artikel Lain