PELAKON yang dikhabarkan menderita penyakit kanser, Ardell Aryana meminta maaf terhadap tindakannya berdiam diri sejak kebelakangan ini yang menyebabkan orang sekeliling terasa hati. Malah, Ardell atau nama sebenarnya Nurul Hidayah Mohd Amin, 28, berkata, dia sedar keluarganya juga turut terluka apabila dia jarang bercakap dengan mereka. "Saya tidak bercakap banyak akhir-akhir ini. Saya jadi penat memaksa diri untuk bercakap, jumpa orang dan berkomunikasi. Saya minta maaf jika ia melukakan hati orang sekeliling yang menghantar mesej peribadi, emel dan cuba hubungi saya tetapi tidak berjawab. "Bukan sahaja orang luar, malah keluarga saya juga terluka dan terasa hati kerana saya tidak bercakap dengan mereka . Ya, kadang-kala saya ada mood untuk bercakap, gelak dan lain-lain tapi bukan setiap masa," tulisnya. ARTIKEL BERKAITAN: Ardell kini berkerusi roda, netizen beri kata semangat Sebelum ini, pelakon ini menimbulkan spekulasi apabila dikatakan sedang menghidap kanser tahap tiga. Status yang dimuat naik di laman sosial Ardell yang seakan-akan menggambarkan keadaannya kini menguatkan lagi andaian itu. Bagaimanapun, sehingga kini usaha mStar Online untuk mendapat kenyataan Ardell tidak berjaya dan dia masih mendiamkan diri. Sementara itu, Ardell berkata, buat masa sekarang dia memerlukan masa untuk dirinya sendiri. "Saya memerlukan masa untuk diri sendiri. Terlalu banyak tekanan terhadap saya sebagai manusia biasa. "Buat masa sekarang saya hanya buat kerja dan buat apa yang saya mahu," ujarnya. Status Ardell bukan untuk raih simpati. Selain itu, pelakon Cinta Hati Batu ini memberitahu dia memuat naik luahan hati di laman sosial pada setiap hari bukan untuk meraih simpati. Bagaimanapun, dia berterima kasih dengan doa dan rasa prihatin semua terutama keluarga yang memahami keadaannya. "Setiap hari saya kongsi apa yang saya rasa bukan untuk meraih simpati. Saya menghargai semua usaha dan doa kalian serta keluarga yang memahami. Saya minta maaf sekali lagi," ujarnya. Pada 9 Julai lalu, pelakon ini mandapat perhatian netizen apabila memuat naik video berkerusi roda yang menimbulkan tanda tanya mengenai keadaan kesihatannya itu.