suria

Fatin Afeefa jalani pembedahan buang apendiks

Fatin selamat jalani pembedahan buang apendiks pada Jumaat.

PETALING JAYA: Pelakon Fatin Afeefa selamat menjalani pembedahan membuang apendiks pada Jumaat di sebuah Pusat Perubatan Subang Jaya.

Fatin atau nama sebenar Fatin Nur Afifah Shamsudin berkata dia juga mengalami jangkitan kuman dalam darah namun keadaannya kini sudah stabil.

"Saya dah selamat menjalani pembedahan buang apendiks pada Jumaat. Dalam masa yang sama, saya mengalami jangkitan kuman dalam darah.

"Tapi alhamdulillah, keadaan saya kini sudah stabil," kata Fatin ketika dihubungi mStar Online pada Ahad.

Menurut Fatin, dia mengalami sakit perut sejak Khamis lalu dan terus dibawa ke kecemasan pada keesokkan harinya untuk jalani pembedahan.

Fatin dikejarkan ke bilik kecemasan pada Jumaat.

"Saya sakit pada Khamis dan esoknya saya ke hospital dan terus ke kecemasan untuk pembedahan.

"Nasib baik saya dapat tahu awal. Kalau tidak, tak tahu la apa jadi," ujarnya.

Fatin turut memuat naik foto dia selepas menjalani pembedahan tersebut di laman Instagram pada Sabtu.

Rata-rata pengikut di laman sosial mendoakan agar pelakon drama bersiri Red Velvet cepat sembuh.

Dalam pada itu, Fatin berkata dia masih menunggu kebenaran doktor untuk pulang memandangkan sedang menjalani penggambaran drama Jodoh 2 Annisa.

Fatin berharap doktor membenarkan dia pulang ke rumah.

"Sekarang ni saya masih lagi di hospital. Sepatutnya dah boleh balik tapi saya demam pula.

"Jadi kena tunggu dulu. Takut ada jangkitan lain pula. Tapi harap-harap dapat pulang awal sebab saya perlu jalani penggambaran drama untuk 100 episod.

"Saya tak nak lah menyusahkan produksi, kru dan barisan pelakon lain," katanya.

Fatin Afeefa

Artikel Lain