ALOR SETAR: Penyanyi Datin Alyah tidak mengetahui dakwaan kononnya dia digam daripada mengadakan sebarang persembahan di stesen televisyen tempatan. Bagaimanapun kata Alyah atau Noor Hasliah Abu Hassan, 37, dia sedar kurang menerima undangan bagi menjayakan mana-mana program hiburan sejak kebelakangan ini. "Soal digam oleh stesen televisyen, jujurnya memang saya tidak tahu menahu tetapi kebelakangan ini memang kurang mendapat liputan atau jemputan bagi menjayakan program TV. "Sebelum ini kalau diundang, saya pasti akan memberikan kerjasama sepenuhnya kerana belum pernah lagi saya tolak sekiranya dipanggil untuk muncul dalam mana-mana program," katanya. Alyah ditemui pada majlis pelancaran single terbaharunya, Jutaan Purnama yang diadakan di Keriang Hill, Alot Setar di sini, Khamis. Alyah bersama Pengarah Urusan Warner Music Malaysia & Singapura, Darren Choy ketika pelancaran single Jutaan Purnama. Tunku Temenggong Kedah, Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim turut berkenan hadir melancarkan single berkenaan. Alyah kononnya tidak mendapat undangan di stesen televisyen tempatan kerana dikatakan terkena tempias akibat kelantangan suaminya Datuk Ramli MS mengkritik beberapa stesen TV sebelum ini. Dalam pada itu, Alyah berkata, dia tidak mengetahui punca sebenar mengenai situasi menimpanya itu sejak awal tahun ini. Namun katanya, dia tidak pernah berfikiran negatif terhadap situasi itu namun sekiranya benar dia digam, ia adalah hak sesebuah stesen televisyen. "Saya mula kurang mendapat undangan sejak awal tahun lagi namun sepanjang tempoh itu saya tidak pernah berfikir negatif dan menganggap ia peluang untuk saya memperbaiki diri. Alyah memilih melancarkan single terbaharunya di Keriang Hill, Kedah. "Jika benar saya digam oleh mana-mana stesen televisyen, saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana itu adalah hak mereka," jelasnya. Tambah Alyah lagi, walaupun berasa kecewa tetapi dia percaya kepada rezeki dan sekiranya tidak diundang maka dia menganggap itu bukan rezekinya. "Alhamdulillah meskipun jarang muncul di televisyen tetapi persembahan pentas saya masih berjalan. “Sepanjang hidup takkan kita nak orang sanjung kita saja... Ada waktu kita kena dapat pengajaran juga," katanya. Dalam perkembangan lain, Alyah menampilkan kelainan apabila melancarkan muzik video bagi single terbaharunya berjudul Jutaan Purnama di sebuah resort berlatarbelakangkan gunung batu kapur yang unik, di Keriang Hill, Kedah. Menurut Alyah dia memilih Keriang Hill sebagai lokasi untuk melancarkan muzik video Jutaan Purnama kerana suasana kampung yang menenangkan. Muzik video itu juga turut menampilkan Remy Ishak yang menurut Alyah, pembabitan aktor itu kerana dia seorang yang mudah memberi kerjasama selain selesa bergandingan dengannya. “Remy sudah saya anggap seperti sahabat saya. Dia merupakan seorang rakan yang baik. "Senang untuk saya bergandingan dengan Remy," katanya. Jutaan Purnama menjalani penggambaran di Tanah Rata Cameron Highland, Pahang.