suria

Penangan hebat Zahirah MacWilson kerana watak Feeqa

Kemunculan Zahirah MacWilson dalam drama bersiri Jangan Ada Benci Cintaku mendapat sambutan hangat penonton. Foto Instagram @zahirahmacwilson

PENANGAN drama lakonannya dalam Jangan Ada Benci Cintaku yang hangat ketika ini membuatkan pelakon Zahirah MacWilson dihujani pelbagai pertanyaan netizen di laman sosialnya.

Zahirah, 23, yang membawa watak Feeqa menerusi drama itu berkata, dia seolah-olah menjadi rujukan berkaitan isu perhubungan biarpun dirinya belum mendirikan rumah tangga.

“Saya tak sangka drama itu akan mendapat sambutan dan trending di laman sosial.

“Ramai yang terkesan dengan watak yang saya bawa. Mereka hantar mesej melalui Instagram untuk tanya pendapat, malah ada yang kongsi kisah mereka yang hampir sama dengan watak yang saya bawakan.

“Ini bermakna lakonan saya menjadi. Tapi realitinya, saya seorang yang kuat dan tak rasa boleh jadi macam watak Feeqa dalam dunia sebenar,” ujarnya kepada mStar Online.

Zahirah diburu peminat di Instagram kerana Feeqa.

Zahirah ditemui sewaktu majlis pelantikannya sebagai duta produk penjagaan wajah Meeracle di Hotel Le Meridien, di ibu negara.

Menerusi drama Jangan Benci Cintaku, Zahirah bergandingan dengan Saharul Ridzwan dan ia disiarkan di TV3 menerusi slot Akasia.

Bercerita lanjut mengenai perkembangan kerjayanya, Zahirah ternyata bersyukur dengan penerimaan orang ramai terhadap drama lakonannya pada tahun ini.

“Ini adalah tahun ketiga saya dalam industri. Dulu pada tahun pertama dan kedua, banyak kelemahan lakonan saya.

“Tapi saya berusaha perbaiki kelemahan-kelemahan lakonan dan kali ini mendapat respon positif.

Zahirah dilantik sebagai duta produk Meeracle. 

“Mungkin juga sebab saya tidak terikat dengan sebarang hubungan cinta, maka saya lebih fokus dengan kerjaya lakonan dan dapat memberi yang terbaik,” ujar Zahirah lagi.

Mengulas mengenai pelantikannya sebagai duta produk Meeracle, pelakon tinggi lampai itu berkata, dia sangat teliti dalam aspek kecantikan.

Malah, dia tidak sewenang-wenangnya menerima tawaran itu tanpa sebarang pertimbangan.

“Dulu saya pun skeptikal dengan produk kecantikan tempatan. Tapi apabila Meeracle mendekati saya untuk produk ini, ia ternyata bagus untuk kulit.

“Saya sangat teliti dengan apa yang saya kongsi dengan peminat, kalau tidak berkesan, saya tak akan terima tawaran untuk jadi duta,” katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain