suria

Kelly Azman! Suara ‘sumbang-mambang’ berani mati anggap klon Misha Omar

Kelly Azman tampil dengan single baharu berjudul No No No.

MUNCUL dengan single baharu berjudul No No No, pengacara Kelly Azman mengakui tidak terkesan dengan tohmahan sesetengah pihak yang menganggap dia syok sendiri dan tidak berbakat.

Menurut Kelly, cakap-cakap kurang enak yang mempertikaikan mutu nyanyiannya bukan sahaja datang dari netizen, malah turut dilemparkan oleh rakan dalam industri hiburan sendiri.

Antara kata-kata dilemparkan suara Kelly 'sumbang mambang' dan 'kelaut'. 

"Saya akui ramai yang cakap saya syok sendiri bila keluarkan lagu ini, tapi ini adalah diri saya yang sebenar.

"Saya tak peduli dengan segala kutukan kerana saya tahu saya berbakat. Saya juga bebas untuk berkarya," ujar Kelly sewaktu dihubungi mStar Online.

Dia yang sentiasa energetik sewaktu mengemudi pentas sebagai pengacara majlis-majlis tertentu turut melihat dirinya persis penyanyi Misha Omar setiap kali membuat persembahan.

Cakap-cakap kurang enak mengenai Kelly bukan sahaja diperkatakan oleh netizen malah turut dilemparkan rakan dalam industri.

Tambah Kelly, dia tidak kisah sekiranya dianggap sebagai klon kepada pelantun lagu Bunga-Bunga Cinta itu.

"Kadang-kadang bila saya menyanyi, gaya persembahan saya seakan-akan Misha Omar.

"Dia juga saya anggap sebagai idola, saya suka tengok dia menyanyi, gayanya sangat unik dan suaranya penuh gemersik," ujarnya lagi.

Dalam kesibukan rangka promosi No No No, Kelly turut terpalit dengan dakwaan kononnya dia tidak menjelaskan bayaran penuh kepada Asfan Shah selaku produser lagu tersebut.

Kelly berhasrat untuk menghasilkan single berentak balada bagi mempamerkan kemampuan vokalnya yang sering dipertikai.

Menurut Kelly, apa yang disampaikan tidak benar sama sekali, malah hubungannya dengan Asfan juga tidak bermasalah.

"Sebenarnya cerita ini saya dengar daripada kawan-kawan juga, ada yang kata saya tak bayar duit kepada Asfan.

"Saya dengan dia baik-baik sahaja, malah berkemungkinan dia yang akan hasilkan single kedua saya," jelasnya.

Bercerita lanjut mengenai perancangan itu, Kelly berkata dia mahu tampil dengan lagu bergenre balada bagi membuktikan kemampuan vokalnya kepada semua pihak.

Sementara itu, Kelly turut memohon agar stesen-stesen radio tempatan sudi memutarkan lagu No No No dan berharap ia mendapat sambutan ramai.

No No No boleh didengar menerusi YouTube.

Dia juga mempunyai sebuah lagu Hari Raya ciptaan Awang (BPR) iaitu Kepulangan Di Hari Raya.

Kelly Azman, No No No, Asfan Shah

Artikel Lain