suria

Mia Sara alami jangkitan, buah pinggang bengkak

Mia dikejarkan ke hospital pada Isnin lalu selepas mengalami sakit perut yang teruk.

BAPA kepada pelakon Mia Sara iaitu Muhammad Ridhuan terkilan dengan sebuah blog yang melaporkan berita tidak sahih mengenai penyakit anaknya.

Ridhuan Ridhuan atau lebih mesra dengan panggilan Ridz berkata dia berasa hairan bagaimana netizen boleh tahu keadaan anaknya ada kaitan dengan buah pinggang.

"Saya terkilan juga dengan beberapa buah blog yang menulis tentang Mia yang dikatakan sakit buah pinggang.

"Seperti mereka mendoakan sakit anak saya pula. Saya hairan juga macam mana netizen boleh tahu sedangkan saya belum keluarkan kenyataan apa-apa.

Keadaan Mia kini semakin positif.

"Sebab itu, saya terpaksa gunakan platform media sosial saya untuk jelaskan keadaan Mia yang sebenar," kata Ridz ketika dihubungi mStar Online.

Menurut Ridz, Mia dikejarkan ke Thomson Hospital Kota Damansara selepas mengalami sakit perut yang teruk dan tidak dapat membuang air kecil.

Doktor mengesahkan Mia atau nama sebenarnya Mia Sara Nasuha, 13, mengalami jangkitan kuman di saluran air kencing menyebabkan buah pinggangnya bengkak.

"Pagi subuh Isnin tu Mia ada mengadu sakit perut dan tak boleh kencing tapi dia pergi juga sekolah.

"Dalam pukul 12 tengah hari dia hubungi saya kata perut sakit sangat. Saya bawa pergi klinik tapi doktor kata kena bawa ke hospital.

Ridz berharap orang ramai mendoakan anaknya cepat sembuh.

"Di hospital doktor kata dia dah kena jangkitan pada air kencing sehingga menyebabkan buah pinggangnya menjadi bengkak," ujarnya.

Bagaimanapun, Mia kini dalam keadaan stabil dan dia mungkin dibenarkan pulang pada Sabtu sekiranya tidak ada apa yang berlaku pada malam ini.

"Alhamdulillah keadaan dia semakin baik walaupun semalam (khamis) dia agak kritikal sebab mengalami sakit perut yang teruk.

"Tapi hari ini doktor dah tukar ubat lain nampak semakin positif. Kalau dia tak ada rasa sakit malam ini, Insya-Allah esok dia dibenarkan pulang," katanya.

Mia Sara

Artikel Lain