suria

Bukan nak cakap bagus, apa tak cukup dengan Amir Masdi?

Amir Masdi mengarap tuah kepada single terbaharunya. FOTO: Low Boon Tat

KUALA LUMPUR: Penyanyi Amir Masdi mendedahkan dia pernah berasa kecewa selepas single keduanya, Waktu pada tahun lalu tidak mendapat sambutan.

Amir atau nama sebenarnya Amir Syazwan Masdi, 22, berkata ketika itu dia lebih gemar menyendiri tanpa memikirkan kegagalan single tersebut selama beberapa bulan.

“Saya pernah rasa kecewa dengan diri sendiri apabila single kedua saya itu tidak menjadi. Setiap malam, saya tertanya-tanya apa yang tak cukup dengan diri saya.

“Bukan nak cakap saya ini sudah bagus. Tapi mungkin personaliti atau cakap percakapan saya dengan orang tu salah ke.

“Masa itu saya lebih suka habiskan masa seorang diri dengan main permainan video selama beberapa bulan. Sebab nak elak daripada memikirkan hal itu,” kata Amir kepada mStar Online.

Amir ditemui ketika majlis pelancaran video muzik lagu terbaharu Puas di Redbox, The Gardens Mall, di sini pada Selasa.

Bagaimanapun, Amir kembali bersemangat untuk aktif dalam bidang nyanyian selepas melihat persembahan Anugerah Juara Lagu 32 (AJL32) dan artis luar negara di saluran YouTube.

“Saya mula rasa semangat nak aktif semula dalam nyanyian selepas menonton persembahan AJL tahun lalu dan persembahan artis luar negara di YouTube.

“Dari dulu lagi saya memang nak sangat membuat persembahan di pentas yang besar. Jadi, saya buat keputusan sekarang ini saya tak akan duduk diam lagi,” ujarnya.

Dalam pada itu, juara program realiti Akademik Fantasia 2016 (AF201) ini buat pertama kali mengadakan majlis pelancaran single terbaharu berjudul Puas.

Menurut Amir, sebelum ini dia tidak tahu selok belok untuk mengeluarkan lagu menyebabkan dua lagu tidak ada sebarang promosi.

“Sebelum ini saya tak tahu cara dan langkah yang betul untuk keluarkan sesebuah lagu dan ketika itu pun saya tak bersedia sangat. Masuk industri dalam keadaan mengejut.

“Banyak benda yang saya perlu belajar lagi dalam industri muzik ini. Saya tak tahu macam mana nak buat persediaan bila ada lagu baharu,” katanya.

Sebelum ini, Amir ada mengeluarkan single pertama iaitu Pemilik Cinta pada penghujung tahun 2016 dan manakala lagu Waktu dikeluarkan pada Mei 2017.

Lagu terbaharunya itu merupakan hasil ciptaan penuh Ayden Ali bersama penyanyi Ikhwan Fatanna.

Amir Masdi

Artikel Lain