ISTERI kepada penyanyi Dahlan Zainuddin iaitu Datin Effa Rizan memberitahu dia sekeluarga reda apabila janji yang dibuat oleh seorang ahli perniagaan untuk menghadiahkan mereka sebuah rumah hanya tinggal harapan. Effa ketika dihubungi berkata, beliau tidak berkecil hati apabila pihak tersebut memungkiri janji kerana sejak awal lagi dia tidak meletakkan sebarang harapan untuk memiliki sebuah rumah hadiah daripada orang lain. "Itu hanya cakap sahaja... Saya dan suami tidak mengharapkan pun malah reda apabila ia sekadar tinggal janji. "Selebihnya saya enggan ulas mengenainya kerana tidak mahu bercakap tentang perkara itu, kerana ia tidak manis," katanya kepada mStar Online. Dahlan bersama isteri, Effa Rizan. Dalam pada itu, Effa berkata, di sebalik kejadian itu sebenarnya tersimpan seribu hikmah apabila mereka akhirnya berpindah ke rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) Seri Aman, Kepong sejak dua minggu lalu. Katanya, kediaman itu adalah atas usaha pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT), Datuk DJ Dave yang prihatin dengan keadaan mereka selepas 20 tahun menyewa di Bukit Indah, Ampang. "Alhamdulillah sudah dua minggu kami berpindah ke rumah baru, keadaan sangat selesa dan paling penting kehidupan lebih tenang sekarang. "Syukur kepada Allah masih ada pihak yang sudi membantu kami dan ringan sedikit beban memandangkan sebelum ini kadar sewa rumah sangat tinggi," ujarnya. Tambah Effa, keadaan suaminya yang tidak sihat menyebabkan pendapatan mereka tidak menentu dan perpindahan mereka ke PPR Seri Aman, Kepong boleh menjimatkan banyak kos. Dahlan sentiasa merindui untuk kembali aktif menyanyi. "Apa yang paling penting sekarang adalah untuk rawatan suami dan penjimatan wang yang dilakukan boleh digunakan untuk menanggung kos perubatannya. Bercakap mengenai kesihatan Dahlan, Effa berkata, keadaan suaminya itu ketika ini kurang sihat ekoran masalah lemah jantung yang dihadapinya. Kata Effa, kesihatan Dahlan perlu dipantau agar kondisinya tidak bertambah teruk selain perlu berjumpa dengan doktor secara berkala. "Jika diikutkan penyakit angin ahmar yang dihadapinya dua tahun lalu semakin pulih namun masih melakukan rawatan fisioterapi di Pusat Rehab di Cheras. "Cuma masalah jantungnya yang membuatkan dia kurang sihat sejak kebelakangan ini kerana jantungnya lemah," katanya.