PETALING JAYA: Stesen radio Suria sekali lagi bakal mengadakan siaran luar bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk melihat penyampai mereka ke udara secara langsung. Diadakan sempena bulan Kemerdekaan, siaran luar itu akan diadakan di Mydin USJ, Subang Jaya bermula pukul 3 petang hingga 7 malam, pada esok (Sabtu). Menurut Pengurus Program Suria, Roslinda Abd Majid atau DJ Lin, program itu bukan sahaja menampilkan penyampai mereka malah akan disertai beberapa artis tempatan. "Kesemua lapan penyampai Suria akan menyertai siaran luar ini. Malah, mereka yang datang juga dapat beramah mesra dengan artis seperti Kaka Azraff, Lan Solo, Ella, Alyah dan Siti Nordiana. Team Suria Pagi iaitu Fizi Ali (kanan), Issey (kiri) dan Shahrol (Shiro). "Selepas siaran luar di lokasi ini mendapat sambutan hangat April lalu, pihak Mydin mahu berkoloborasi sekali lagi bersama kami untuk program esok," ujarnya kepada mStar Online. Selain beramah mesra bersama penyampai dan artis, pengunjung yang hadir juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah eksklusif yang disediakan oleh Suria. Malah, siaran luar itu juga diadakan bagi memperkenalkan dua penyampai baharu Suria iaitu Shahrol (Shiro) dan Issey. Sementara itu, Suria juga bakal menjelajah ke beberapa negeri di negara ini bagi bertemu dengan peminat setia mereka bermula September ini. Untuk maklumat lanjut mengenai acara ini, anda boleh melayari laman web rasmi suria.my atau ikuti laman sosial Facebook, Instagram dan twitter SuriaFMMalaysia.