suria

Tekaan Daiyan Trisha berkahwin meleset, rupa-rupanya gimik lancar lagu

Tindakan pelakon dan penyanyi Daiyan Trisha memuat naik gambarnya dalam persalinan baju perkahwinan membuatkan ramai menyangka dia bakal berkahwin. Foto Instagram @daiyantrisha

TINDAKAN pelakon dan penyanyi Daiyan Trisha memuat naik foto memperlihatkan dia dalam persalinan baju perkahwinan di Instagram miliknya sejak beberapa hari lalu membuatkan ramai menyangka dia bakal melangsungkan perkahwinan.

Telahan itu bertambah kuat apabila dia turut meletakkan tarikh 19 Ogos 2018 pada tiga gambar yang dimuat naik seolah-olah memberi bayangan ia adalah tarikh dia bakal bergelar isteri.

Ruang komen di Instagramnya juga turut dihujani dengan ucapan tahniah daripada pengikutnya dan tidak ketinggalan ada yang menganggap ia sekadar gimik untuk projek terbaharunya.

Ia ternyata hanya satu bentuk promosi apabila Daiyan atau nama sebenarnya Daiyan Trisha Nasaruddin, 24, menerusi status terbaharunya menjelaskan dia tidak melangsungkan perkahwinan atau bertunang seperti disangka.

Daiyan menjelaskan tarikh 19 Ogos 2018 sebenarnya adalah hari pelancaran single terbaharunya, Langit.

Sebaliknya kata pelakon filem Busker itu, gambar tersebut adalah untuk sampul single terbaharunya yang berjudul Langit yang dilancarkan pada Ahad (hari ini).

"Gambar itu sebenarnya adalah sampul single terbaharu saya, Langit yang mengangkat tentang meraikan cinta.

"Ketika kami menulis lagu ini, visi yang saya bayangkan adalah untuk majlis perkahwinan, ulangtahun, lamaran dan sebagainya.

"Saya mahu ia menjadi sebuah lagu yang orang boleh dedikasikan kepada cinta hati mereka. Justeru, ini konsep 'ketika hari perkahwinan'.Dengarkan lagu itu, ia dapat menjelaskan segala-galanya," tulisnya di Instagram.

Dalam pada itu, Daiyan berkata, dia langsung tidak berniat untuk mengelirukan mana-mana pihak termasuk keluarga, rakan dan wartawan berhubung gambar tersebut sehingga timbul salah faham.

Nama Daiyan Trisha sedang meningkat naik.

"Terima kasih atas sokongan and semua dan bukanlah menjadi niat saya untuk menimbulkan kekecohan.

"Saya dengan rendah diri memohon maaf atas salah faham yang mungkin secara tidak sengaja menyebabkan serangan jantung (lol!)," jelasnya lagi.

Bercakap mengenai perkahwinan, Daiyan berkata, sebagai wanita dia turut menyimpan hasrat untuk bergelar seorang isteri pada masa hadapan.

Bagaimanapun katanya, ketika ini dia masih belum bertemu dengan calon sesuai dan meminta peminat mendoakannya bertemu jodoh suatu hari nanti.

Daiyan Trisha, Langit

Artikel Lain