suria

Andi Bernadee pasrah tersingkir 'Big Stage', Ernie Zakri kecewa

Andi Bernadee pasrah apabila dia tersingkir pada minggu ketiga program Big Stage yang berlangsung pada malam Ahad. Foto Instagram @andibernadee & @bigstage_official

SHAH ALAM: Penyanyi Andi Bernadee pasrah apabila namanya diumumkan sebagai peserta kedua tersingkir menerusi program Big Stage yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini pada malam Ahad.

Andi, 27, berkata, dia sudah menjangkakan mengenai perkara itu kerana sedar dia tidak mempunyai peminat yang ramai untuk membantunya mengekalkan kedudukan menerusi undian penonton walaupun mendapat markah baik daripada juri profesional.

"Saya hormati keputusan yang dibuat kerana setakat ini sahaja rezeki saya dalam pertandingan ini.

"Saya pasrah malah sejak awal pertandingan pun saya sudah menjangkakan perkara ini tambahan pula saya masih baru dan tidak mempunyai peminat yang kuat untuk membuat undian.

"Usaha mempromosikan diri di media sosial sudah saya lakukan tetapi pada akhirnya ia berbalik kepada rezeki," katanya.

Andi berduet dengan Indah Ruhaila menerusi lagu Tak Pernah Hilang. 

Pada minggu ketiga itu, Andi menyampaikan lagu berjudul Tak Pernah Hilang nyanyian asal Amylea dan Kaer duet bersama artis jemputan Indah Ruhaila.

Datuk Seri Siti Nurhaliza yang bertindak sebagai juri profesional turut memberi komen positif terhadap nyanyian Andi.

Juri tetap turut diadili oleh Faizal Tahir dan juri jemputan, Mark Adam.

Dalam pada itu, Andi menyifatkan penyingkirannya pada minggu ketiga itu secara bermaruah kerana sudah memberikan persembahan terbaik.

Malah dia tidak melihat komen netizen mengatakan nyanyiannya tenggelam dengan vokal Indah Ruhaila kerana masing-masing memberikan tenaga sama rata untuk lagu itu.

Andi memberitahu sudah memberikan persembahan terbaik.

"Apa-apa pun saya sudah buat yang terbaik dan rasanya saya keluar dengan cara bermaruah... Tiada apa yang saya sesalkan.

"Malah saya tak melihat Indah seolah-olah 'makan' saya di atas pentas kerana kami memberi tenaga yang sama untuk menjayakan lagu itu.

"Jika itu berlaku mungkin juri sudah memberikan komen negatif kepada persembahan kami," katanya.

Sementara itu, guru vokal pertandingan itu yang juga penyanyi, Ernie Zakri melahirkan rasa kecewa apabila Andi diumumkan tersingkir pada pertandingan itu.

Kata Ernie, Andi seorang penyanyi berbakat besar selain mempunyai kesungguhan untuk berjaya dalam bidang nyanyian.

Guru vokal Big Stage, Ernie Zakri. 

"Sebagai orang yang bekerja rapat dengannya saya terkejut dan berasa sedih serta kecewa apabila namanya diumumkan tersingkir.

"Dia mempunyai bakat besar dan saya anggap antara peserta yang boleh ke peringkat akhir dalam pertandingan itu.

"Andi seorang yang sentiasa bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu dan ia kualiti yang saya lihat dalam dirinya," katanya.

Bagaimanapun Ernie tidak menolak faktor populariti turut memainkan peranan penting selain bakat dalam sesebuah pertandingan nyanyian.

"Ini yang kita namakan rezeki dan perjuangannya setakat ini sahaja dalam pertandingan ini namun saya yakin dia boleh pergi jauh pada masa hadapan," ujarnya.

Andi Bernadee, Big Stage

Artikel Lain