suria

Boleh tonton secara percuma, tak perlu ke saluran yang haram!

Beto, Ezzaty, Nabila dan Azhar mempertikaikan tindakan pihak tidak bertanggungjawab memuat naik drama bersiri lakonan mereka secara haram di laman sosial.

ISU cetak rompak dan muat naik sesebuah filem atau drama secara haram di laman sosial masih belum dapat ditangani sehingga kini.

Baru-baru ini, pelakon Beto Kusyairi mendedahkan masih ada lagi segelintir pihak tidak bertanggungjawab membuat live drama lakonannya, KL Gangster Underworld di Facebook.

Menurut Beto, penonton boleh menonton drama tersebut di saluran yang betul iaitu Iflix tanpa perlu membuat sebarang pembayaran.

"Ada juga mal**n yang buat live show #KLGangsterUnderworld kat FB. Padahal bukan kena bayar pun.

"Ia adalah #iflixfree la guys. Muat naik saja aplikasi Iflix selepas itu boleh tengok terus keenam-enam episod.

Status yang dimuat naik Beto, Azhar, Nabila dan Ezzaty.

"Yang tengok live show haram tu pun ada saham mencuri juga tau," tulis Beto menerusi laman Twitter miliknya.

Kata Beto lagi, apa yang dijelaskannya itu bukan hanya soal hak cipta namun ia adalah hasil kerja semua pihak dari awal penerbitan drama tersebut.

Beto juga mempertikaikan segelintir pihak yang masih tidak memahami perkara itu biarpun sudah diberikan dengan cara yang mudah.

"Selain soal hak cipta, ini perit jerih kami. Bukan seorang dua punya hasil kerja eh.

"Tapi ramai. Dari seawal tulis skrip sampailah siap. Pun masih tak faham atau buat-buat tak faham?

Barisan pelakon KL Gangster Underworld.

"Dah beri yang mudah pun masih manja nak mudah lagi. Entahla," katanya.

Selain Beto, barisan pelakon drama itu seperti Nabila Huda, Ezzaty Abdullah dan Azhar Rani turut menyokong kenyataan pelakon itu.

"Kira macam kau jumpa perompak yang baru lepas merompak rumah kau selepas itu dia puji-puji rumah kau best. Power! Macam tu la aku dengan kawan-kawan rasa.

"Bekerja siang malam balik subuh nak siapkan #KLGU tu selepas itu engkau orang sokong mangkuk-mangkuk yang muat naik kat link haram tu!" kata Azhar.

Drama terbitan Skop Production yang diarahkan oleh Faizal Ishak ini disiarkan secara dalam talian sejak Khamis lalu, pukul 6 petang di Iflix.

Artikel Lain