suria

Krisis antara Lan Solo & Kristal sebenarnya beri impak positif

Lan sentiasa mendoakan yang terbaik buat kumpulan Kristal. Foto SHAARI CHEMAT.

SUBANG JAYA: Penyanyi Lan Solo mengakui krisis di antaranya dengan kumpulan Kristal sebelum ini memberi peluang untuk mereka maju ke hadapan.

Lan atau Mohd Razlan Mohamed Yusof, 33, berkata, dia menganggap perkara itu juga memberi impak yang positif pada kedua-dua belah pihak.

"Kadang-kadang benda ini jadi memberi impak yang positif pada kami. Sebab mungkin perjalanan dahulu tak ada kesedaran untuk lebih maju ke hadapan.

"Apabila perkara itu berlaku, masing-masing memberi kesedaran positif itu," kata Lan kepada mStar Online.

ARTIKEL BERKAITAN: "Berpisah Tanpa Rela" dedah krisis Lan Solo bersama Kristal


Apa yang terjadi antara Lan dan Kristal memberi impak yang positif.

Lan ditemui ketika program Siaran Luar Suria Bersama Mydin di Mydin USJ, di sini pada Sabtu.

Sebelum ini, Lan mengundur diri daripada Kristal selepas pemain gitar kumpulan itu, Rody merehatkan dia kerana mahu mencari vokalis baharu pada November tahun lalu.

Ditanya mengenai pencarian vokalis baharu, Lan hanya mendoakan yang terbaik buat kumpulan itu.

"Saya hanya mendoakan yang terbaik untuk Kristal. Harap projek mereka boleh memberi satu impak yang positif untuk band.

"Semoga maju jaya buat mereka," ujarnya.

Lan bakal tampil dengan projek khas bersama band baharu.

Selain Lan, kumpulan yang ditubuhkan sejak 1999 itu turut membariskan Rody(Muhamad Rodi Baharudin), Mohd Nur Asraf Baharuddin (Asraf) dan Muhammad Afifi Nor Mohammad (Afifi).

Dalam pada itu, penyanyi lagu Berpisah Tanpa Rela ini bakal membuat sebuah projek band tidak lama lagi.

"Insya-Allah saya akan buat projek bersama band. Sebab saya banyak menerima permintaan untuk membuat persembahan bersama band.

"Untuk kembali dengan kumpulan lama, mungkin tidak. Saya buat kumpulan baharu bukan bermaksud band rasmi tapi hanya untuk projek sahaja," katanya.

Lan Solo, Kristal

Artikel Lain