suria

Berlian palsu hadiah Datuk Vida, mesin pengesan tak berbunyi - Aishah

Aishah terkilan pemeriksaan mendapati rantai berlian itu palsu. Foto Instagram @aishahjmm

JUARA Gegar Vaganza musim keempat (GV4) Aishah meminta penaja program hiburan bersikap jujur dan tidak menipu mengenai hadiah yang ditawarkan kepada pemenang.

Menurut Aishah, 53, dia terkilan apabila mengetahui rantai berlian bernilai RM80,000 yang merupakan hadiah bonus tajaan daripada Datuk Seri Vida adalah tidak bernilai dan bukan berlian asli.

"Mulanya saya pergi kedai barangan kemas untuk ubah suai rantai tersebut kerana ia terlalu besar untuk dipakai setiap hari, tapi mengejutkan apabila pemeriksaan mendapati ia bukan asli.

"Dua kali 'tauke' kedai itu check, ingatkan mesin berlian itu rosak tapi apabila letak cincin (berlian asli) berbunyi pula, saya terkilan dan tertanya adakah kerana ini hadiah tambahan bermakna penaja tak boleh memberi jaminan ia tulen.

ARTIKEL BERKAITAN: Aishah belum terima hadiah tanah lot & barang kemas tiada nilai, ini jawapan Astro

"Kalau penaja kata hadiah itu plastik atau kayu sekalipun saya terima, tapi jangan tipu," katanya menerusi siaran langsung di laman Instagramnya pada Isnin.

Terdapat satu alat mengukur ketulenan berlian terdapat di kedai-kedai emas dengan cara menyentuh barang kemas terbabit pada mesin berkenaan yang akan mengeluarkan bunyi jika berlian itu asli.

Bagaimanapun, usaha mStar Online mendapatkan jawapan Datuk Seri Vida gagal kerana panggilan tidak dijawab.

Gambar alat pemeriksaan ketulenan berlian. Imej google / pricena.

Pada Sabtu lalu penyanyi lagu Janji Manismu ini mendedahkan mengenai ketulenan barangan kemas tersebut selain masih belum menerima hadiah sebidang tanah lot banglo selepas hampir setahun menjuarai GV4.

Disebabkan perkongsiannya di laman sosial, Aishah menerima kritikan dan kecaman netizen yang berasakan dia tidak bersyukur dengan pemberian tersebut.

"Tentang hadiah tanah lot itu, ada netizen yang marah kata kita tak bersyukur dan tak tahu bersabar tapi hakikatnya mereka tak beri tarikh sebenar dan asyik tangguh sahaja... nak suruh tunggu tanah kubur agaknya!

Aishah bersama penaja GV4, Vida (dua dari kanan).

"Saya tahu apabila berkongsi mengenai hal ini orang akan kutuk, tapi saya bersuara kerana ini hak kita. Saya harap pihak berkenaan bertanggungjawab dan mungkin kerajaan boleh amik perhatian," ujarnya.

Sementara itu, Aishah berkata, dia tidak terfikir untuk mengambil tindakan undang-undang kerana memakan masa yang panjang dan mahu ia diselesaikan dengan cara yang lebih berhemah.

"Kalau pihak penaja ada masalah, boleh jumpa untuk minta maaf dan beritahu apa sebenarnya yang berlaku, mulanya kata tanah di Johor Bahru tapi lepas ditanya tukar di Selangor pula.

"Kami disuruh bersabar hampir setahun dan sudah melalui pelbagai saluran sepatutnya tapi tak ada tindakan, saya harap ada jalan penyelesaian terbaik," katanya.

Selain Aishah selaku juara, pemenang tempat kedua iaitu Liza Hanim dan ketiga iaitu Lan Solo turut dijanjikan tanah lot berkenaan dan kesemua mereka tidak menerima hadiah dijanjikan itu.

Aishah

Artikel Lain