PELAKON Mawar Rashid mengakui dia berasa gementar menantikan kelahiran cahaya mata pertamanya yang dijangka lahir pada Mac tahun hadapan. Mawar atau Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid, 23, berkata sebagai persediaan dia ada banyak bertanya dan meminta nasihat pada ahli keluarganya mengenai penjagaan bayi. "Alhamdulillah saya sangat teruja dan gembira apabila disahkan mengandung anak pertama. Tapi dalam pada masa yang sama, saya gementar juga. "Sebab ini adalah bayi pertama dan saya tak ada pengalaman menjaga bayi. Saya ada bertanya pada ibu serta ibu mertua dan kakak yang sudah ada anak. "Selain itu, Raf juga ada membeli buku panduan untuk saya baca. Malah, saya pun ada tengok YouTube mengenai penjagaan bayi," kata Mawar kepada mStar Online. Anak-anak dan suami teruja apabila dapat tahu Mawar hamil. Kandungan Pelakon drama bersiri Pencuri Cinta Kelas Satu ini sudah memasuki tiga bulan. Menurut Mawar, dia sedang melalui trimester pertama kehamilan yang menyebabkan alahan 'morning sickness'. "Tapi tak teruk sangat. Saya hanya sensitif dengan bau seperti minyak wangi, pewangi kereta dan losyen badan yang menyebabkan rasa mual," ujarnya. Dalam pada itu, isteri kepada Raf Yaakob ini terpaksa membatalkan tawaran berlakon yang sudah diterimanya demi menjaga kandungannya. Malah, Mawar membuat keputusan untuk tidak mengambil sebarang tawaran berlakon sehingga selesai proses berpantang. Mawar Rashid. Namun, dia belum mempunyai perancangan bagaimana perjalanan kariernya selepas bersalin. "Saya terpaksa hubungi pihak produksi drama dan telefilem untuk batalkan tawaran yang sudah saya terima demi menjaga kandungan saya. "Lagipun, saya tak nak menyusahkan mana-mana pihak. Takut nanti tak mampu nak buat. Saya tak akan ambil tawaran apa-apa sehingga habis proses berpantang. "Tapi saya belum ada sebarang perancangan macam mana perjalanan karier selepas bersalin nanti," ujarnya. Mawar berkahwin dengan Raf atau Raden Ahmad Faizal Yaakob, 33, pada 9 November 2018. Raf mempunyai dua orang anak, Raden Ahmad Rayyan, 7, dan Raden Seri Raysaa Chanela, 3, hasil perkahwinan terdahulu.