PENYANYI Nabila Razali menerima kecaman hebat pengguna laman sosial apabila dikatakan gagal menyampaikan lagu dengan baik di Konsert Havooc yang bersiaran secara langsung di TV3 pada malam Ahad lalu. Nabila, 25, berkata dia terkejut membaca komen-komen yang ditinggalkan netizen dan mengakui tidak menyedari nyanyiannya itu sumbang apabila didengar menerusi televisyen. "Saya terkejut apabila membaca kritikan tersebut dan tak sedar jika cara nyanyian saya seakan-akan tidak kena di televisyen kerana semasa di Studio Sri Pentas 2 semuanya okay sahaja. Nabila menyanyikan lagu popularnya berjudul Pematah Hati. "Lagi pula, penonton yang hadir di studio turut sama-sama enjoy dengan nyanyian lagu itu. Mungkin sebelum persembahan itu saya terlalu seronok bergelak sakan menyertai aktiviti yang dijalankan sampai hilang fokus nyanyian. "Saya akui malam itu bukanlah persembahan yang terbaik dan hanya ingin menghiburkan penonton di studio dan di rumah," katanya kepada mStar Online. Dalam konsert yang bersiaran selama dua jam itu, Nabila menyampaikan lagu popularnya berjudul Pematah Hati. Nabila membalas komen seorang pengguna Twitter. Selain Nabila, penyanyi lain yang turut membuat persembahan ialah Ayda Jebat, Khai Bahar, Aiman Tino, Mark Adam, Ernie Zakri, Kaka Azraf dan Achey. Dalam pada itu, penyanyi yang mula dicungkil bakat menerusi program realiti Akademi Fantasia 2013 ini mengakui sudah lali dengan kecaman. Bagaimanapun, dia berjanji untuk terus memperbaiki mutu nyanyian dan menerima kritikan tersebut dengan hati terbuka. Nabila sudah lali dengan kritikan dan kecaman. "Ini bukan kali pertama dikecam, sebelum ini pun ada dan saya tak boleh nak puaskan hati semua orang. "Saya terima semua komen dengan hati terbuka dan berjanji buat lebih baik lagi pada masa akan datang. "Saya pun masih belajar dan niat hanya untuk menghiburkan peminat. Jika mereka terhibur sudah cukup menggembirakan saya," ujarnya.