suria

Persembahan Tajul hambar kerana juri dan penonton bersorak

Tajul berazam untuk memperbaiki mutu persembahannya di pentas Big Stage. Foto Instagram @tajulofficial

SHAH ALAM: Penyanyi Tajul Arif memberitahu sikap pemalu dan gemuruh dalam dirinya menjadi punca persembahannya di pentas Big Stage kelihatan hambar dan tidak bertenaga.

Pemilik nama sebenar Tajul Ariff Noor Md Shari, 20, ini berkata, walaupun sudah masuk minggu keempat namun sukar baginya untuk membuang sikap itu setiap kali melihat penonton bersorak dan wajah juri di hadapan pentas.

"Sepatutnya saya sudah berasa selesa dengan pentas Big Stage malah rasanya ketika sesi latihan saya dapat buat dengan baik.

"Tetapi apabila tiba siaran langsung, terus keluar rasa takut terutamanya apabila melihat penonton yang ramai dan wajah barisan juri.

"Saya tahu tidak boleh biarkan perasaan itu memakan diri saya tetapi ia seolah-olah sudah jadi satu tabiat dan memang silap saya sendiri," katanya.

Tajul gementar apabila melihat penonton dan juri.

Pada persembahan malam Ahad lalu, Tajul menyampaikan lagu rap berjudul Amboi nyanyian asal Altimet dan ia mendapat ulasan kurang baik daripada juri.

Akibatnya, Tajul sekali lagi berada di kedudukan tiga tercorot apabila juri hanya memberi markah 64.67 peratus kepadanya namun dia terselamat daripada disingkirkan selepas markah itu ditambah dengan undian peminat menjadi 77.27 peratus.

Sissy Imann yang menyanyikan lagu Mas Idayu berjudul Sengol Sengolan Cubit Cubitan menjadi peserta ketiga tersingkir selepas mendapat markah paling rendah iaitu 74.33.

Dalam pada itu, Tajul berkata, dia tidak berasa kecewa apabila sudah tiga minggu berturut-turut dia menjadi peserta paling tercorot kerana yakin ia ada hikmah di sebaliknya.

Jelasnya, dia mengambil positif akan hal itu dalam memperbaiki mutu persembahannya dan bekerja keras untuk minggu seterusnya.

"Ada yang kata saya patut tersingkir cuma undian peminat yang menyelamatkan saya tetapi sebenarnya bukan mudah juga untuk menarik orang mengundi kita.

"Tetapi tidak mengapa saya anggap ada hikmahnya saya berada di kedudukan rendah, ia dapat menjadi pemangkin semangat dan kena bekerja keras lagi," katanya.

Tajul, Big Stage

Artikel Lain