suria

Faizal Tahir kata Tajul terlalu relaks, tiada personaliti, tak sesuai untuk Big Stage

Tajul tersingkir minggu kelima Big Stage.

PENYINGKIRAN Tajul Ariff pada minggu kelima program realiti Big Stage disebabkan personalitinya yang kurang menonjol.

Penyanyi Faizal Tahir selaku juri tetap berkata, karakter persembahan dan cara nyanyian yang bersahaja setiap minggu yang ditampilkan Tajul juga tidak sesuai untuk pertandingan.

“Dia terlalu relaks sudah minggu kelima masih relaks lagi. Personaliti dia sebagai peserta yang bertanding juga tidak seperti peserta lain.

“Saya tidak pandang rendah pada dia cuma saya cara nyanyiannya bukan yang terbaik untuk masuk pertandingan.

“Namun itu mungkin bukan salah dia kerana mungkin dia seorang yang tenang. Kita tak nampak dia berdebar atau gemuruh pun,” ujarnya kepada mStar Online.

Tajul membawakan lagu Sulit pada malam Ahad.

Faizal bertindak sebagai juri tetap bersama Datuk Seri Siti Nurhaliza dan juri undangan Altimet.

Program Big Stage bersiaran secara langsung di Astro Ria dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada malam Ahad. 

Enam peserta lain yang mara ke minggu seterusnya adalah Arif Bahran, Wani Kayrie, Afieq Syazwan, Shafiq Farhain, Baby Shima dan Sarah Suhairi.

Sementara itu, Tajul yang menyanyikan lagu Sulit nyanyian asal Aman Aziz itu berkata, dia menerima penyingkiran tersebut dengan hati yang terbuka.

Tajul bersama juri undangan Altimet.

Katanya, dia sudah melakukan yang terbaik untuk pertandingan itu namun tiada rezeki pada malam tersebut.

“Saya terima kerana niat awal saya memasuki pertandingan ini bukan untuk jadi juara pun, saya hanya inginkan pengalaman sahaja.

“Saya sudah melakukan yang terbaik tapi ada perkara yang pihak juri nampak ia tidak cukup bagi saya.

“Kalau kata persembahan saya terlalu relaks itu saya tidak pasti kerana saya sudah buat yang terbaik,” ujarnya.

Tajul Ariff, Big Stage

Artikel Lain