suria

Delimawati dah cantas heroin muda, tapi tak ada tawaran berlakon!

Delimawati berbangga jadi sebahagian tenaga kerja HKL. Foto: IZZRAFIQ ALIAS

PELAKON utama filem Hantu Kak Limah (HKL), Delimawati Ismail mengakui dia berbangga apabila digelar sebagai heroin paling berjaya kerana membawa keuntungan dalam naskhah tersebut.

Menurut Delimawati, dia sendiri tidak menyangka mampu mengatasi heroin filem lain terutamanya aktres muda gara-gara watak berkesan sebagai hantu dalam HKL.

"Saya bangga jadi heroin tua yang dapat cantas heroin muda, rasa sangat seronok.

"Segala kepayahan dan kesulitan sepanjang penggambaran dirasakan cukup berbaloi dan bertukar menjadi indah.

Delimawati dikenali menerusi watak Hantu Kak Limah.

"Kami sendiri tak menyangka sambutan sebegini akan diterima, ingatkan boleh dapat RM8 juta sahaja, tapi kutipan itu melebihi RM36 juta," katanya kepada mStar Online.

Delimawati ditemui semasa majlis makan malam meraikan kejayaan filem Hantu Kak Limah di Sampling Fourteen, Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur, pada Rabu lalu.

Meskipun beraksi cemerlang dalam HKL, pelakon yang mula dikenali menerusi drama Rombongan Cik Kiah Ke Sukan Komenwel ini berkata terbit perasaan terkilan dihatinya.

Ujarnya, sehingga kini dia tidak menerima sebarang tawaran lakonan dan masih menanti peluang tersebut.

Delimawati bergambar bersama pengasas Infinitus Gold yang juga merupakan produksi filem HKL, Andy Lau.

"Walaupun filem HKL meletop di pawagam, tapi tak ada orang offer saya berlakon.

"Selama 30 tahun berada dalam industri seni, ia sudah menjadi darah daging dan tempat saya cari makan tapi nak dapat tawaran berlakon pun susah.

"Sampaikan saya tertanya-tanya kenapa tak ada orang bagi job dekat kita! Tak apalah, mungkin lepas ni ada rezeki itu," luahnya.

Hantu Kak Limah arahan Mamat Khalid berjaya mengutip RM36 juta dan dijangka mencapai kutipan penuh RM40 juta.

Selain Delimawati, ia turut dibintangi oleh Datuk Awie, Zul Ariffin, Mus May, Uqasha Senrose dan Ropie.

Delimawati, Hantu Kak Limah

Artikel Berikut

Artikel Lain