suria

“Sebab itu anak dara aku sentiasa pakai seluar” - Fynn Jamal

Fynn bersama suami dan dua anak mereka, Bakti Arjuna Fitri dan Sakti Kencana Fitri. Foto Instagram @fynnjamal

BERITA mengenai penahanan seorang lelaki autism berusia 22 tahun yang dipercayai menyentuh dada seorang wanita pada Selasa lalu mendapat perhatian Fynn Jamal yang turut terkesan dengan insiden itu.

Fynn berkata, anak lelakinya, Bakti Arjuna Fitri yang juga penghidap autism menunjukkan sikap ingin tahu tentang anatomi manusia.

"Ada banyak spektrum autism dan banyak juga jenis masalah stimulasi yang mereka ada, variasi, tak pernah sama sentiasa.

"Juna (anaknya) seperti lelaki 22 tahun ini, ada sedikit sama, ingin tahu tentang anatomi. Aku tak tahu tentang lelaki 22 tahun tadi dan aku tak ada rancangan untuk membincangkan tentang dia.

Fynn memuat naik status di Instagram.

"Tapi Juna amat taksub dengan memahami tekstur kulit, bentuk jasad dan sebagainya," tulisnya di Instagram.

Pada Rabu lalu, Mahkamah Majistret Petaling Jaya menolak permohonan reman terhadap suspek selepas dia ditahan pada malam Selasa kerana didakwa menyentuh dada seorang wanita di luar sebuah restoran di Subang Jaya.

Dalam pada itu, cerita Fynn lagi, anak kesayangannya itu pernah mengejar wanita seksi kerana dia ingin memahami tentang bentuk malah badannya dan suami turut diterokai kerana sikap ingin tahunya itu.

"Badan Mummy, Daddy memamg habis dah dia terokai. Dia duduk sejengkal dari kulit kita, korek mata kita, kutil-kutil pusat, renung lama-lama nak cuba faham.

Fynn memberitahu dia lebih selesa Arjuna melakukan aktivitinya sendiri. 

"Sebab itu anak dara aku sentiasa pakai seluar. Juna ada obsesi dengan anatomi, jasad orang dan jasad dia. Autism bukan perkara main-main, betul," ujarnya lagi.

Atas dasar itu juga kata Fynn, dia jarang membawa anaknya itu ke tempat awam seperti taman permainan atau bermain dengan rakan sebayanya dan lebih menggalakkan dia melakukan aktivitinya sendiri.

"Sebab dia autism, dia kurang upaya untuk berfikir dan orang sentiasa sibuk nak putuskan apa yang patut dan tak patut kami buat.

"Cuba handle sehari la tengok larat tak larat. Itu sebab aku lagi gembira dia kat rumah sebab aku tak pernah kisah dia nak selongkar satu rumah satu badan ke sebab dia tak kacau orang," tulisnya lagi.

Fynn Jamal

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain