suria

“Bukan bekas suami tapi orang lain” - Amelina

Amelina bakal berentap menerusi program Gegar Vaganza musim kelima. Foto Instagram @amelinaamirsharipuddin

KUALA LUMPUR: Penyanyi Amelina berkata dakwaan lelaki dikenali sebagai 'D' yang disebut anak perempuannya dalam laman sosial baru-baru ini bukan merujuk kepada bekas suaminya, Reduan Mahmood.

Sebaliknya kata Amelina, 'D' ialah seorang lelaki yang paling rapat dengannya ketika ini namun menegaskan hubungan itu hanya sekadar kawan.

"Bukan bekas suami tapi orang lain... Apa yang boleh saya katakan kami hanya berkawan dan rasanya tidak elok untuk saya bercakap mengenainya secara terbuka.

"Lagipun saya seorang ibu tunggal dan paling penting saya perlu mementingkan keselesaan enam anak saya," katanya.

Amelina ditemui pada sidang media memperkenalkan barisan 12 peserta program Gegar Vaganza musim kelima (GV5) yang diadakan pada Rabu.

Amelina mahu memberi fokus kepada pertandingan Gegar Vaganza yang akan bermula tidak lama lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Siapakah identiti lelaki didedahkan anak Amelina? Adakah ia bekas suami?

Tindakan anak sulungnya, Puteri Nur' Athirah memuat naik foto di Instastory menimbulkan tanda tanya mengenai status terkini penyanyi itu.

Menerusi dua paparan skrin kiriman e-mel kepada mStar, Athirah mengucapkan terima kasih kepada individu yang dipanggil sebagai 'D' dipercayai singkatan untuk Daddy kerana meluangkan masa bersama mereka sekeluarga.

Malah Athirah turut memuat naik gambarnya bersama Amelina dan seorang lelaki berbaju hitam namun hanya bahagian bahu dan tangan lelaki itu yang kelihatan dalam foto berkenaan.

Untuk rekod, Amelina dan Reduan berkahwin pada 20 Mei 1999 dan sejak mendirikan rumah tangga, penyanyi lagu Rindu itu menghilangkan diri daripada dunia hiburan.

Hasil perkahwinan dengan usahawan itu, mereka dikurniakan enam cahaya mata iaitu Puteri Nur’ Athirah, 17, Putera Al’ Affiq, 16, Putera Al’ Asyraff, 15, Puteri Nur’ Asyurah, 13, Putera Al’ Arffa, 11 dan Putera Al’ Amzar, 8 tahun.

Pasangan itu dilaporkan bercerai pada 2014.

12 peserta yang bakal berentap merebut gelaran juara Gegar Vaganza musim kelima.

Dalam pada itu, Amelina tidak menafikan anak-anaknya selesa jika keluar bersama pemuda tersebut yang disifatkan mempunyai sifat kebapaan.

Bagaimanapun katanya, dia tidak terburu-buru mengenai soal perkahwinan kerana tumpuannya kini untuk mencari nafkah buat keluarga dan fokus terhadap pertandingan GV5.

"Alhamdulillah anak-anak semua rapat dengannya mungkin kerana senang dengan sifat kebapaan yang ditunjukkan.

"Tetapi itu tidak pula membawa maksud lain kerana kami berkawan dan fokus saya pun sekarang untuk keluarga dan karier," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Amelina berkata, dia menerima tawaran daripada pihak Astro untuk menyertai GV5 kerana merasakan sudah bersedia dari segi fizikal dan mental untuk berentap bersama penyanyi profesional lain.

Kata Amelina, sebelum ini dia pernah menerima tawaran sama namun terpaksa menolak kerana ingin memberi fokus kepada undangan nyanyian demi mencari nafkah buat keluarganya.

Amelina akui gementar bakal beraksi di pentas Gegar Vaganza.

"Sebenarnya sejak musim pertama pihak produksi ada menawarkan kepada saya tetapi saya terpaksa tolak demi mencari rezeki untuk anak-anak.

"Tambahan pula saya masih belum bersedia ketika itu... Alhamdulillah sekarang karier semakin stabil dan saya ada pihak pengurusan baru yang melancarkan karier dan menyakinkan saya agar bertanding pada tahun ini," katanya.

Akui Amelina, dia gementar untuk beraksi di pentas GV5 kerana sedar ia sebuah platform yang mampu memberi impak kepada kariernya namun bersedia untuk setiap cabaran diberikan.

"Jujurnya kalau persembahan biasa pun saya gemuruh apatah lagi ini adalah sebuah pertandingan. Insya-Allah saya sudah bersedia dengan sebarang cabaran dan kritikan juri demi karier saya," katanya.

GV5 akan bersiaran langsung bermula 30 September ini di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dekat sini. Ia turut disiarkan di saluran Ria (104) dan Ria HD (123).

Amelina, GV5

Artikel Lain