suria

Zynakal lancar lagu di Sri Lanka bukan kerana berasal daripada keluarga kaya

Zynakal tampil dengan single pertamanya, Terbang.

COLOMBO: Penyanyi baharu Zynakal menafikan yang dia mampu melancarkan single pertamanya Terbang di Sri Lanka disebabkan berasal daripada keluarga berada.

Zynakal atau Muhammad Raziq Rosli, 20, sebaliknya berkata dia memilih destinasi tersebut kerana mahu memenuhi impian ibunya, Zuraidah Ibrahim yang belum berpeluang mengunjungi negara itu.

“Saya bukan datang daripada keluarga berada seperti yang diperkatakan tapi saya sendiri yang berusaha keras mencari penaja untuk membawa saya dan rakan-rakan ke Sri Lanka.

“Selain itu juga, saya mahu memenuhi impian ibu yang teringin sangat datang ke sini tapi tak pernah dapat peluang itu.

“Kiranya, saya mewakili ibu datang ke sini dengan melancarkan single pertama saya berjudul Terbang,” kata Zynakal kepada mStar Online.

Zynakal pernah mencipta lagu untuk Haqiem Rusli dan Fara Hazel.

Selain rakan-rakannya, Zynakal turut menerbangkan wartawan dari Malaysia bagi memeriahkan majlis pelancaran lagu pertamanya itu di Galle Face Hotel, di sini pada Rabu.

Penyanyi yang bernaung di bawah syarikat rakaman Virtuosity Production Sdn Bhd turut melancarkan secara rasmi video muzik di saluran YouTube tepat pukul 8 malam waktu Malaysia.

Lagu yang dicipta oleh Zynakal sendiri bersama penyanyi Sufian Suhaimi, Faiz Ruzaini dan Alabbas turut dilancarkan di platform digital, Spotify.

Zynakal juga merupakan komposer lagu Sabar nyanyian Ismail Izzani, Selamat Tinggal Sayang versi pertama (Haqiem Rusli), Terasa Cinta (Fara Hazel dan Aiman) serta beberapa penyanyi baharu lain.

Zynakal, Terbang, Sri Lanka

Artikel Lain