suria

Mungkin Tulus sangka Nabila Huda penjaga pintu Istana Budaya

Nabila berkongsi pengalaman lucu ketika bertemu penyanyi Indonesia Tulus pada malam Selasa. Foto Instagram @kupu_kupu

KETERUJAAN Nabila Huda untuk bergambar dengan penyanyi Indonesia Tulus yang mengadakan konsert sulungnya di Kuala Lumpur di Panggung Sari, Istana Budaya pada malam Selasa bertukar menjadi insiden melucukan buat pelakon itu.

Mana tidaknya kata Nabila, Tulus hanya berlalu pergi ketika lalu di hadapannya walaupun dia sudah bersedia untuk mengambil gambar dengan pemuda itu.

Secara berjenaka, Nabila berkata, Tulus mungkin menyangka dia penjaga pintu Istana Budaya gara-gara dia berdiri di hadapan pintu laluan ke bilik Seri Nilam tempat sidang media diadakan selepas konsert berakhir.

"Teruja nak ambil gambar dengan Tulus... Ya, muka pertama tu belum bersedia. Yang kedua dah terlebih yakin dan lebih ceria.

"Ya dia sampai tapi dia lalu je wak... Tak tengok kita pun Mungkin dia ingat kita penjaga pintu Istana Budaya kot.

Akhirnya Nabila dapat bergambar dengan Tulus.

"Hancur berderai hatiku. Kira gambar tu rare tau. I dapat ambil gambar telinga serta backshot dia okay!" tulisnya di laman sosial itu.

Bagaimanapun, Nabila, 34, akhirnya dapat merakamkan foto kenangan bersama Tulus yang turut dikongsi di Instagramnya.

Menerusi konsert itu, lebih 1,400 penonton memenuhi ruang Panggung Sari untuk menyaksikan konsert Tulus.

Konsert berdurasi selama dua jam itu memperlihatkan penyanyi itu menyampaikan 15 buah lagu popularnya termasuk Pamit, Teman Hidup, Langit Abu-Abu dan Sewindu.

Selain Nabila, antara selebriti tempatan yang turut hadir ke konsert itu adalah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Misha Omar, Sherry Alhadad dan Dayang Nurfaizah.

Nabila Huda, Tulus

Artikel Berikut

Artikel Lain