suria

“Sila padam atau berdepan tindakan” - Syamsul Yusof

MASIH ditayangkan di pawagam, filem Munafik 2 menjadi mangsa cetak rompak yang dirakam secara haram dari panggung wayang.

Sedutan filem tersebut dimuat naik oleh individu tidak bertanggungjawab dan mula dikongsi di laman sosial secara berleluasa.

Akaun tersebut dipercayai milik warga Indonesia namun rakaman menggunakan telefon bimbit itu dilakukan di pawagam Malaysia.

Menurut pengarahnya Syamsul Yusof yang kini berada di London, dia sudah mengetahui mengenai perkara tersebut.

Syamsul turut berkongsi luahan di Instagram miliknya.

Katanya, tindakan akan diambil terhadap individu yang merakam dan menyebarkan filem tersebut secara haram.

"Saya sudah maklum tentang perkara itu tapi tak mahu ulas lanjut. Ada yang masih tak faham apa yang mereka buat ini salah di sisi undang-undang Malaysia.

"Pihak Skop Production akan mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan perkara tidak bertanggungjawab itu.

"Sila padam video tersebut dan jika masih berdegil syarikat akan mengambil tindakan," katanya kepada mStar Online.

Munafik 2 kutip RM40 juta.

Pada Ahad, Munafik 2 memecahkan rekod sebagai filem Melayu paling tinggi kutipan iaitu sebanyak RM40 juta dalam tempoh 17 hari ditayangkan.

Filem ke-10 arahan Syamsul itu turut dibintangi beberapa barisan pelakon popular seperti Maya Karin, Nasir Bilal Khan, Mawi, Datuk Fizz Fairuz, Datuk Rahim Razali dan Fauzi Nawawi.

Ia bakal ditayangkan di pawagam Indonesia bermula 26 September ini.

Syamsul Yusof, Munafik 2

Artikel Lain