SIAPA sangka adegan lelaki mencuri makanan dalam filem On Two Jaga sebenarya diinspirasikan berdasarkan kejadian sebenar yang dialami sendiri oleh pengarahnya, Nam Ron sekitar 18 tahun lalu. Mendedahkan perkara itu Nam Ron berkata, semasa kejadian dia baharu sahaja menamatkan pengajiannya di Akademi Seni Kebangsaan (ASK) malah bayaran tidak tetap sebagai kru terknikal dan pentas menyukarkan lagi kelangsungan hidup di Kuala Lumpur. Ceritanya lagi, pernah satu ketika dia tidak mempunyai pekerjaan selama beberapa bulan sehingga seminggu tidak makan kerana tiada wang membeli makanan. "Nak minta kat orang yang menyewa kat rumah tu, aku dah malu... harap mereka hulur aje. Tak hulur tak makan. Antara adegan dalam One Two Jaga. "Aku ingat lagi dalam keadaan lapar aku berdiri di depan 7Eleven kat bawah rumah aku tu... Aku fikir pisau kat dapur. "Aku fikir aku acu pisau kat cashier suruh dia serahkan duit kat aku. Aku fikir kalau aku kena tangkap, aku nak cakap aku seminggu tak makan sebab takde kerja," ceritanya. Dalam pada itu, Nam Ron berkata, dalam keadaan terdesak itu dia mengambil keputusan bertemu dengan pengarah U Wei Shaari untuk meminta bantuannya. Berbekalkan wang syiling, Nam Ron memberitahu dia menaiki bas semata-mata untuk memberitahu pengarah itu tentang ideanya merompak kedai serbaneka kerana kelaparan. "Abang tadi saya berdiri depan 7Eleven saya nak rompak! Saya dah seminggu tak makan, kalau abang tak bagi saya duit saya pergi rompak 7Eleven tu. Mulut aku terketar-ketar. Mata U Wei terkebil-kebil. U Wei Shaari. "Lepas U Wei terkebil-kebil mata, dia seluk poket seluarnya dan tarik keluar sekeping not RM50 sambil tarik tangan aku dan kami duduk di sofa. "Banyak kata nasihat yang disedekahkan dekat aku hari itu tapi semuanya tenggelam dalam otak kepala yang sibuk menghitung barang makanan mentah (semestinya kering dan tahan lama) untuk bekalan sementara aku dapat kerja baru," katanya. Tambah Nam Ron, wang RM50 itu telah menyelamatkannya daripada melakukan kerja gila untuk merompak kedai serbaneka itu. "Apa yang aku nak bagitau adegan seorang lelaki yang ditahan kerana mencuri makanan dalam One Two Jaga adalah inspirasi daripada pengalaman sendiri yang dilengkapkan kisahnya di dalam filem ini," ujarnya.