PENYANYI Aiman Tino berkemungkinan besar akan menjalani pembedahan membuang tonsil di bahagian tekaknya pada 10 November depan. Aiman, 20, berkata dia mempunyai masalah tonsil bengkak itu semenjak enam bulan lalu namun tidak terfikir ianya akan menjadi serius. "Saya ada pemeriksaan tonsil di tekak pada 10 November ini dan kemungkinan besar akan menjalani pembedahan buang tonsil waktu itu juga. ARTIKEL BERKAITAN: Aiman Tino terima rawatan akibat sakit dalam perut Peminat Aiman, Diraf datang melawatnya di hospital. "Sebenarnya sudah enam bulan juga saya alami tonsil bengkak tapi pada mulanya ingat tidak serius sebab selepas makan ubat jadi baik semula. "Tapi selang beberapa hari, tonsil bengkak semula. Buat masa sekarang, tekak saya belum pulih sepenuhnya," katanya kepada mStar Online. Sebelum ini, Aiman telah dimasukkan ke sebuah hospital swasta Rawang selepas mengalami demam panas disebabkan tonsil bengkak dan ususnya telah dijangkiti kuman pada Selasa lalu. Kata Aiman, dia sudah dibenarkan pulang ke rumah pada Sabtu dan perlu menjaga pemakanan dengan betul selepas ini. Aiman dimasukkan ke hospital pada Selasa lalu. "Alhamdulillah saya sudah dibenarkan pulang selepas lima hari berada di wad. Perut saya pun semakin pulih tapi masih perlu menjalani pemeriksaan doktor. "Selepas ini, memang saya perlu menjaga waktu makan dan pemakanan dengan betul. Ayah pun sudah berpesan makan kena ikut waktu. "Terima kasih kepada peminat yang tak putus-putus mendoakan kesihatan saya," ujarnya.