PELAKON Nabila Razali mengakui watak seorang peminat fanatik yang dilakonkan dalam telefilem Pengantin Lari Culik Artis sangat dekat dengan dirinya. Nabila, 26, berkata, dia membawakan watak tersebut menerusi pemerhatian yang dibuat terhadap peminat sekelilingnya. Malah, penyanyi lagu Pematah Hati ini juga mengakui dia juga pernah melalui fasa tersebut. "Telefilem ini sangat dekat dengan saya dan peminat-peminat. Sebagai selebriti mereka adalah antara orang yang penting dan menyokong kerjaya saya selama ini. Nabila kerap anjurkan aktiviti dengan peminat. "Saya sendiri pernah menjadi peminat dan tergila-gilakan seorang artis walaupun saya tahu ia terlalu jauh dengan realiti," ujarnya kepada mStar Online. Nabila ditemui pada majlis parti pijama dan tayangan drama Pengantin Lari Culik Artis yang diadakan di Hotel Royal, Kuala Lumpur malam Sabtu. Telefilem yang ditayangkan di Astro Citra itu turut dibintangi pelakon Syafiq Kyle, Bell Ngasri, Eyka Farhana dan Norman Hakim. Dalam pada itu Nabila berkata, peminat juga menjadi sumber kekuatan dia ketika berdepan dengan kecaman masyarakat di media sosial. Nabila bersama peminat menonton telefilem Pengantin Lari Culik Artis, baru-baru ini. "Peminat adalah sumber kekuatan saya terutama apabila saya dikecam netizen. "Bila saya rasa putus asa, saya fikir balik kegigihan mereka datang dari jauh untuk sokong saya di mana-mana persembahan," ujarnya. Nabila berkata, dia sering mengadakan majlis bersama peminat untuk menghargai sokongan mereka. Dalam perkembangan lain, Nabila bakal keluar dengan single terbaharu dalam masa terdekat.