PENYANYI rap Caprice tidak bersetuju dengan hantaran status di Twitter Pencetus Ummah (PU) Amin mengenai bencana alam yang berlaku di Indonesia. Caprice, 30, berkata status tersebut telah mengundang andaian daripada netizen yang mengatakan bencana Tsunami yang meragut banyak nyawa di Kota Palu, Sulawesi itu kerena terdapatnya komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT). Menurutnya, kita sepatutnya menghormati sensitiviti ahli keluarga yang telah kehilangan orang yang tersayang. "Salam PU, maaf Caprice nak tegur secara buka. Tapi tweet umum anda tentang peristiwa tragis di Indonesia benar-benar tidak dipedulikan dan amat menyedihkan saya. ARTIKEL BERKAITAN: Lebih 200 gempa susulan terus gegarkan Sulawesi Tengah ARTIKEL BERKAITAN: “Haram is haram bro!” - PU Amin mengaku paling galak tegur budaya songsang Caprice memuat naik paparan skrin status PU Amin di laman Instagramnya. "Kita kena hormat juga sensitiviti pada keluarga yang kehilangan orang yang mereka sayang. "Sebab tweet ni, kalau PU baca komen kat IG/FB, ada netizen yang pandai-pandai tambah cakap kawasan ini memang ada 'pesta LGBT' dan sebab tu la kena Tsunami. "Macam mana kalau mereka salah?" soalnya menerusi laman Instagram. Sebelum ini, PU Amin memuat naik status mengatakan ulama di Indonesia bersepakat bahawa malapetaka besar yang berlaku di Lombok dan Palu disebabkan maksiat yang berleluasa. Menerusi status tersebut, pendakwah muda itu berkata Allah telah menurunkan laknat agar manusia beringat selepas nasihat diberikan. PU Amin terkenal dengan kritikan lantang khususnya membabitkan selebriti tanah air. Dalam pada itu Caprice berkata, sebagai saudara sesama Islam seharusnya mendoakan keselamatan dan kesejahteraan rakyat di Indonesia bukan sekadar membuat andaian agama menjadi sebab kejadian yang berlaku. Doa Caprice untuk mangsa dan seluruh keluarga di Indonesia. "Kita harus berdoa untuk keselamatan dan kesejahteraan saudara-mara kita sesama Islam di Indonesia. "Doa untuk mereka bukan dengan membuat andaian agama sebagai sebab mengapa ini berlaku. Harap PU faham. Salam dan semoga Allah merahmati. "Doa saya untuk mangsa-mangsa dan seluruh keluarga di Indonesia," katanya. Lebih 200 gempa susulan berlaku di Sulawesi Tengah selepas gempa bermagnitud 7.4 Skala Richter menggoncang Kota Palu dan Donggala pada 28 September lalu menyebabkan berlakunya Tsunami setinggi lebih tiga meter di pantai Palu dan Donggala. Hingga Isnin angka korban akibat bencana itu meningkat lebih 830 orang, manakala mangsa yang selamat berdepan kesukaran mencari makanan dan air.