NAMPAKNYA kemelut antara Aishah dan usahawan kosmetik, Datuk Seri Hasmiza Othman atau Vida terus berpanjangan apabila penyanyi itu memberi tempoh tujuh hari kepada Vida berhubung hadiah barang kemas didakwa palsu selain permohonan maaf. Aishah menerusi peguamnya Mohammad Izwan Azmi, berkata, ahli perniagaan tersebut perlu bertanggungjawab terhadap hadiah yang dihebohkan selepas Aishah menjuarai Gegar Vaganza musim keempat. "Kami sudah menghantar satu surat tuntutan bermula hari ini. Menerusi surat tersebut terdapat dua tuntutan iaitu seutas rantai berlian asli dengan nilai setara RM80,000 seperti dihebohkan. "Manakala tuntutan kedua satu permohonan maaf terbuka atas representasi yang salah yang telah dibuat berkenaan rantai berlian tersebut," ujarnya kepada mStar Online. ARTIKEL BERKAITAN: Akhirnya Aishah bakal terima tanah lot tapi tak tahulah nak menangis atau ketawa? Aishah mengadakan sidang media khas untuk menuntut haknya daripada Datuk Vida. Penyanyi yang terkenal menerusi lagu Janji Manismu ini bersama peguamnya ditemui pada sidang media khas yang diadakan di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur pada Jumaat. Tambahnya, tindakan undang-undang akan diambil jika usahawan berkenaan gagal berbuat demikian dalam tempoh tujuh hari yang diberikan. Sementara itu, Aishah berkata, dia juga menolak jemputan untuk hadir pada minggu kedua Gegar Vaganza musim kelima (GV5) bagi menyelesaikan isu berkenaan seperti dicadangkan pihak Astro. Kata Aishah, pentas nyanyian tersebut bukan tempat yang sesuai untuk menyelesaikan itu. "Saya dapat jemputan rasmi untuk hadir pada minggu ini GV5 tapi saya tidak akan hadir berikutan pentas nyanyian bukan tempat yang sesuai untuk selesaikan isu itu. Aishah bersama peguamnya. "Mungkin penaja baru iaitu Datuk Seri Aliff Syukri menganggap perkara itu kecil dan saya anggap ia seperti memperlekehkan isu ini sahaja. "Ia hanya berkaitan 'rating' sahaja, perkara itu tidak boleh selesai dalam tempoh dua tiga minit siaran langsung itu," katanya. Dalam pada itu, Aishah berkata, tindakan yang dilakukan ini adalah bagi menyedarkan pihak penaja dan badan penyiaran agar tidak terus membuli artis untuk kepentingan mereka. "Kalau saya tidak bercakap dan menuntut keadilan ini sampai bila artis ingin ditipu dan dibuli? Ramai yang melalui perkara sama tapi hanya berdiam diri," ujarnya. Pada 25 Ogos lalu, Aishah mendedahkan masih belum menerima hadiah tersebut selain mendakwa barangan kemas tajaan usahawan Datuk Seri Vida yang bernilai RM80,000 adalah palsu. Bagaimanapun hadiah lain seperti wang tunai berjumlah RM100,000, pakej percutian ke Eropah Timur dan baucer beli-belah sudah diterimanya.