suria

Natasha Sass terbeban dipaksa nyanyi lagu tidak disukai

Natasha bangkit semula dengan menulis lirik dan menyanyikan lagu yang dekat dengan dirinya.

PENYANYI baharu Natasha Sass mengakui tidak gembira dan terbeban dengan muzik yang dibawa pada awal penglibatannya dalam industri.

Natasha, 18, berkata dia tidak menjadi diri sendiri dan berasa tidak seronok apabila setiap kali ingin membuat persembahan.

"Tahun pertama saya dalam industri muzik tidak sebaik yang disangka. Saya memaksa diri untuk melakukan sesuatu yang saya tidak suka.

"Saya pilih muzik yang bukan diri saya menyebabkan saya tak gembira dan malah orang jadikan saya bahan untuk gelak.

"Setiap kali nak buat persembahan, saya rasa tidak seronok dan seperti membebankan," katanya kepada mStar Online.


Perjalanan tahun pertama Natasha menjadi penyanyi tidak sebaik yang disangka.

Natasha ditemui ketika Showcase dan sidang media pelancaran lagu terbaharunya Wenn Ich Schiaf di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur pada Selasa lalu.

Bagaimanapun, Natasha berkata dia bangkit semula dengan menulis lagu-lagu yang berkaitan dengan kisah kehidupannya dan menjadi diri sendiri.

Menurut penyanyi lagu Hello Dunia ini berkata tujuan utamanya memasuki dunia muzik kerana minat bukan disebabkan duit atau perniagaan.

"Saya tulis banyak lagu dan menyanyikan lagu yang lebih dekat dengan kisah kehidupan saya.

"Malah, saya menjadi diri sendiri barulah saya teringat semula tujuan utama saya masuk dalam dunia muzik ini kerana minat.

Natasha tampil dengan lagu terbaharu bahasa Jerman.

"Bukan hanya disebabkan duit atau perniagaan," ujarnya.

Dalam pada itu, Natasha tidak mahu bersaing dengan penyanyi-penyanyi yang sedia ada kini kerana menganggap semuanya ada kelebihan tersendiri.

"Saya rasa dalam muzik tak pertandingan atau persaingan. Bagi saya, muzik adalah untuk menyampaikan mesej pada pendengar.

"Kalau kita lakukan untuk bertanding, mungkin kita tak boleh pergi jauh. Setiap penyanyi ada kualiti dan kelebihan masing-masing.

"Sejujurnya, saya tak fokus pada persaingan. Tapi hanya ingin kembangkan muzik saya dan menjadi lebih baik," katanya.

Natasha Sass

Artikel Lain