suria

Safura hilang fokus sebab terlalu berhati-hati, suara jadi garau dan pecah

Safura akui hilang fokus atas beberapa faktor.

PENYANYI Safura Yaacob yang menjadi peserta pertama tersingkir di pentas Gegar Vaganza 5 (GV5) mengakui terdapat beberapa faktor menyebabkan dia tidak dapat meneruskan saingan.

Menurut Safura, 45, masalah vokal dan susunan lagu yang diubah menjadi antara penyebab dia hilang fokus ketika mempersembahkan lagu Diari Biru nyanyian asal Mya Ruslee.

"Saya akui vokal saya tak berapa baik mungkin kerana jalani latihan terlalu teruk sampai suara jadi garau dan pecah, lagi pula saya hilang fokus apabila susunan muzik diubah.

ARTIKEL BERKAITAN: Safura peserta pertama tersingkir Gegar Vaganza 5

"Bagaimanapun, saya anggap itu perkara biasa membabitkan masalah dalaman dan teknikal, tambahan ketika itu tengah gementar sebab dah lama tak menyanyi.

"Bila kita terlalu takut buat kesilapan atas pentas, itulah yang berlaku, mungkin sebab terlalu berhati-hati sampai hilang fokus," katanya kepada mStar Online.

Safura hilang fokus semasa menyanyi.

Safura ditemui semasa sidang media sejurus selepas konsert minggu kedua GV5 yang diadakan di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam pada malam Ahad.

Sementara itu, penyanyi lagu Sedalam Mana Cintamu ini mengakui kecewa apabila menjadi peserta pertama tersingkir, namun dia reda dengan ketentuan tersebut.

"Sejujurnya, siapa yang tak kecewa tersingkir awal, sedangkan saya nak cuba dan buat lebih baik selepas ini.

"Saya percaya peminat lebih kecewa dengan keputusan ini tapi tidak mengapalah, saya reda dengan ketentuan ini dan mungkin ada rezeki di tempat lain.

Safura bersemangat untuk terus berada dalam bidang seni kerana peminat.

"Cuma saya mohon peminat terus menyokong dan saya akan terus aktif mewarnai industri muzik tanah air," ujarnya.

Dalam pada itu, Safura berkata, meskipun perjalanan di pentas GV5 sudah berakhir, dia akan terus mengikuti kelas muzik bagi memantapkan vokalnya.

"Selepas program ini saya akan fokus dengan kelas vokal sebab nak mantapkan lagi suara memandangkan dah lama sangat tak menyanyi.

"Sebelum ini pun tak pernah dapat pendidikan mengenai muzik dan tak pernah ambil kelas vokal. Apabila masuk GV5 ini baru belajar sikit-sikit tentang vokal dengan Cikgu Hajar.

"Jadi, saya akan teruskan latihan bersama beliau dan nak perbaiki lagi vokal. Iyalah sudah lama tak menyanyi, suara pun dah berkarat," katanya.

Safura

Artikel Lain