PETALING JAYA: Pelakon terkenal Jalil Hamid meluahkan rasa terkilan apabila ditawarkan bayaran sebanyak RM1,500 bagi membintangi sebuah drama. Lebih menyedihkan katanya, tawaran bayaran itu adalah untuk watak utama, sekali gus menyifatkan ia satu penghinaan terhadap dirinya sebagai seorang pelakon veteran. "Bila dah jadi artis veteran ni rupanya dah jatuh nilai. "Aku rasa terhina betul apabila ada produksi tawarkan peranan utama... 12 babak daripada 16 babak, penggambaran selama dua hari, harga yang ditawarkan RM1,500," tulisnya di Facebook. Jalil Hamid bersama trofi kemenangan menerusi kategori Pelakon Lelaki Terbaik ASK2011. Dalam pada itu, Jalil berkata, penghinaan seperti itu benar-benar membuatkan dia berasa penat dan segala usahanya sepanjang hampir 40 tahun bergelar pelakon seolah-olah sia-sia. "Terasa penat dan sia-sia pula mengumpul tujuh, lapan anugerah pelakon terbaik dan popular selama 40 tahun. "Barangkali kerana aku tidak ada gelaran Datuk atau Tan Sri mungkin juga kerana tidak tampan," ujarnya. Pendedahan Jalil itu turut mendapat pelbagai reaksi pengikutnya di laman sosial itu yang bersimpati dengan nasibnya dan ada pula yang menyifatkan beliau sebagai tidak bersyukur. Luahan Jalil di Facebook. Menjelaskan mengenai perkara itu, Jalil berkata, dia bukannya tidak berterima kasih namun tugas sebagai seorang pelakon bukannya mudah seperti disangkakan dan seperti pekerjaan lain, dia juga mengharapkan usahanya dibayar setimpal dan berbaloi. "Untuk pengetahuan kerja ini bukan sekadar kerja borong sahaja. Hasil kerja ini keluar mesti kena bagus dan berkualiti... Jadi kau berharap kerja dibayar setimpal dan berbaloi. "Penggambaran bukan sekadar lapan jam, kadang-kadang sampai 18 jam. Lagipun bukan tiap-tiap hari aku dapat tawaran kerja. Kadang nasib sebulan ada sekali itu pun peranan 'runcit-runcit'. "Biasanya untuk pelakon utama veteran ni adalah dua atau tiga kali setahun... Kadang-kadang tidak ada. Aku pun berkeluarga perlu hidup sederhana macam orang lain. Berjimat? Bukit hari-hari kalau di tajak pun habis," katanya.