PENGACARA Nabil Ahmad menzahirkan rasa syukur apabila menerima anugerah Pengacara Hiburan Terbaik di Asian Academy Creative Awards (AAA) yang berlangsung di Cannes, Perancis pada Isnin lalu. Menurut Nabil, 35, kejayaan ini merupakan satu penghargaan tertinggi yang diperolehi olehnya sepanjang 10 tahun bergelar anak seni. "Syukur Alhamdulillah... terima kasih atas anugerah yang sangat besar ini. Terima kasih kepada keluarga dan isteri, Zira Ayub. "Tak lupa juga kepada rakan pengacara Gegar Vaganza, Jihan Muse dan semua tim produksi program tersebut daripada musim pertama hingga sekarang kerana mempercayai saya. "Dan paling penting, kelab peminat Nabelicious yang tak henti-henti menyokong," katanya. Nabil tidak menyangka menerima anugerah antarabangsa itu. Pelawak popular ini berkongsi kegembiraan tersebut menerusi Instagram miliknya pada Khamis. Asian Academy Creative Awards memberi pengiktirafan kepada pengkarya industri kreatif menerusi program-program terutamanya produksi media. AAA mempertandingkan 49 kategori dan membabitkan penyertaan dari 20 negara Asia. Sebelum ini, menerusi laman Instagram Datuk Aznil Nawawi, dia turut memuat naik ucapan tahniah kepada pengacara tersebut. "Bring it on Nabil, World is next! Tahniah," tulisnya.