suria

Bukan sakit jiwa kongsi 300 gambar putih tapi sebab lain - Arja Lee

Arja Lee ada sebab tersendiri 'mengosongkan' akaun Instagramnya sejak seminggu lalu dengan memuat naik lebih 300 gambar putih. Foto FAIHAN GHANI

TINDAKAN pelakon dan penyanyi Arja Lee memuat naik lebih daripada 300 gambar putih di Instagram miliknya sejak seminggu lalu menimbulkan tanda tanya pengikutnya.

Ramai menyangka akaun Arja digodam malah ada pula membuat andaian pelakon itu sengaja berbuat demikian untuk mencari publisiti dan perhatian.

Bagaimanapun kata Arja atau Azharudin Ramli, 35, tindakannya itu bukan kerana mempunyai motif tertentu sebaliknya ia sebagai simbolik dia ingin memulakan kehidupan baharu.

"Ramai orang tanya sebenarnya kenapa saya muat naik gambar putih itu dan ada menyangka akaun saya kena godam atau sedang mengalami 'sakit jiwa'!

ARTIKEL BERKAITAN: Arja Lee bukan merajuk tapi sambung belajar

Arja sedang melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dalam bidang teater.

"Tidak... Bukan 'saiko' atau 'sakit jiwa'. Tiada sebab khusus saya berbuat demikian sebaliknya hanya memulakan kehidupan baru.

"Ia sebagai satu simbolik bahawa saya ingin lupakan perkara lalu dan mulakan memori baru sebagai diri saya Azharudin Ramli dan bukan Arja Lee yang anda kenali," katanya.

Arja ditemui pada tayangan dokumentari Hidangan Laluan Sutera yang diadakan di Golden Screen Cinemas (GSC) The Gardens, Petaling Jaya, Selasa.

Kali terakhir berkongsi gambarnya dengan peminat 10 Oktober lalu, Arja berkata, dia tidak meletakkan sebarang sasaran untuk kembali aktif kerana lebih selesa dengan keadaan sekarang.

Ini kerana kata Arja, selain sibuk dengan karier seni, tumpuannya kini adalah kepada pelajaran selepas mengambil keputusan menyambung pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dalam bidang teater.

Arja belum tahu bila akan kembali aktif di Instagram.

"Saya masih aktif di InstaStory untuk berkongsi aktiviti harian tetapi bila saya nak muat naik gambar di Instagram itu saya tidak tahu.

"Tambahan pula, fikiran saya kini lebih fokus kepada pengajian saya di universiti dan Insya-Allah saya mahu jadi seorang pensyarah selepas ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, dokumentari Hidangan Laluan Sutera yang memulakan siaran pada 24 Oktober (hari ini) bakal memaparkan tentang tradisi dan kebudayaan masyarakat Muslim di China menerusi makanan.

Menerusi program lima episod itu, ia bakal memaparkan pelbagai makanan halal enak serta lokasi menarik untuk dikunjungi terutamanya pelancong beragama Islam.

"Program ini sebenarnya dalam bahasa Mandarin dan telah pun ditayangkan di China namun sambutan yang cukup luar biasa membuatkan kami mengambil keputusan untuk mengalih bahasa dokumentari itu untuk tontonan tempatan.

Duta Besar Republik China ke Malaysia, Bai Tian (dua dari kiri) menerima cenderahati daripada Ketua Pegawai Ekskutif Metrowealth, David Teo pada pelancaran dokumentari Hidangan Laluan Sutera. Turut berada dalam gambar adalah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Fuziah Salleh dan Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, Datuk Khairul Anwar Salleh.

"Setiap episod akan disajikan dengan kepelbagaian serta keunikan makanan halal yang dihasilkan dengan cara pembuatan tersendiri selain cara hidup masyarakat setempat," kata Ketua Pegawa Ekskutif Metrowelth, David Teo.

Program lima episod terbitan Metrowealth dan Shen Lan Time International Film yang berpangkalan di China itu akan bersiaran pada pukul 11 malam di saluran Astro Naura (125).

Pada sidang media itu, Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian serta Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Fuziah Salleh turut hadir pada sesi tayangan Hidangan Laluan Sutera.

Turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Star Media Group Berhad, Datuk Seri Wong Chun Wai.

Selain Arja, selebriti yang turut memeriahkan acara adalah Irma Hasmie dan Dynas Mokhtar.

Arja Lee, Hidangan Laluan Sutera

Artikel Lain