suria

Syatilla pergi kerja, Shaheizy Sam ambil tugas jaga anak

Sam akan menjaga anaknya sekiranya Syatilla sibuk jalani penggambaran. Foto: SAMUEL ONG.

PELAKON Shaheizy Sam dan isterinya Syatilla Melvin tidak mempunyai masalah untuk membahagikan masa menjaga anak sulung mereka, Syeriv Samheizy.

Sam, 36, berkata dia dan Syatilla masih tidak berani mengupah orang lain untuk menguruskan anak mereka itu.

"Alhamdulillah, kandungan Tilla sudah memasuki tiga bulan dan sebenarnya kalau boleh dia tak nak berlakon tapi dapat tawaran yang menjanjikan dua bulan sahaja penggambaran.

"Jadi, buat masa sekarang saya yang menjaga Syeriv di rumah menyebabkan saya sukar untuk bekerja di pejabat kerana memikirkan ada anak kecil.

ARTIKEL BERKAITAN: Syatilla Melvin hamil anak kedua selepas gugur Julai lalu


Kehidupan Sam dan Syatilla semenjak ada anak.

"Saya dan Tilla tak ada masalah nak bahagikan masa untuk menjaga anak. Sebab kami masih belum berani nak bagi orang lain jaga," katanya kepada mStar Online.

Menerusi laporan mStar Online pada 4 September lalu, Syatilla, 26, dan suaminya tidak menjangkakan kehamilan secepat ini memandangkan dia pernah mengalami keguguran pada Julai lalu.

Dalam pada itu, pelakon filem Pinjamkan Hatiku ini mengakui anak lelakinya itu lebih popular berbanding dia dan isterinya.

Menurutnya, biarpun pengikut dia dan Syatilla di laman sosial lebih tinggi berbanding Syeriv namun peminat lebih gemar melihat video anaknya.

Sam akui Syeriv lebih popular daripadanya.

"Saya berani cakap memang betul Syeriv lagi popular daripada saya dan Tilla. Pengikut saya di Instagram ada 3 juta dan Tilla pula 1.8 juta pengikut.

"Syeriv hanya ada lebih 800,000 pengikut tetapi kalau video yang dikongsi di laman sosialnya boleh dapat lebih 2 juta tontonan.

"Manakala video yang saya muat naik di laman sosial saya tak sampai 1 juta pun yang tengok. Mungkin sebab dia budak kecil, orang tak ada rasa perasaan negatif," ujarnya.

Shaheizy dan Syatilla berkahwin pada 8 Februari 2016 dan dikurniakan cahaya mata lelaki pada 9 Mei 2017.

Artikel Lain