suria

Kes saman Neelofa terhadap portal hiburan selesai

Neelofa

KES saman fitnah difailkan pengacara dan pelakon popular, Neelofa terhadap dua syarikat pengendali portal Oh My Media dan Rotikaya akhirnya diselesaikan secara baik melalui proses mediasi di Mahkamah Tinggi di sini, pada Isnin.

Neelofa, atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor mengemukakan saman secara berasingan terhadap OMM Media Sdn Bhd dan Rotikaya Media Sdn Bhd atas dakwaan menyiarkan artikel berunsur fitnah berhubung pelancaran koleksi hijab Be Lofa di pusat hiburan Zouk dan Anugerah Ikon Wanita yang diterima pelakon berkenaan.

Peguam Aiman Ariff Abdul Azij, yang mewakili OMM Sdn Bhd ketika ditemui pemberita berkata kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikan kes saman berkenaan berdasarkan terma-terma yang dipersetujui.

Bagaimanapun, peguam itu tidak mendedahkan terma-terma penyelesaian kes saman berkenaan. Katanya, penghakiman persetujuan kes saman itu akan direkodkan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Darryl Goon Siew Chye. Namun, tiada tarikh ditetapkan oleh mahkamah.

Proses mediasi bagi kedua-dua kes saman itu berlangsung hampir dua jam di dalam kamar Timbalan Pendaftar Nurulizwan Ahmad Zubir, yang bertindak sebagai mediator di Pusat Mediasi Mahkamah Tinggi di sini dengan dihadiri Neelofa, 29.

Neelofa 

Bagaimanapun, usaha pihak media untuk menemu bual pengacara program Meletop itu tidak berjaya selepas Neelofa, yang memakai baju serba hitam diiringi seorang lelaki dilihat bergegas meninggalkan pusat mediasi berkenaan sebelum menaiki kereta BMW berwarna hitam yang menunggunya di perkarangan kompleks mahkamah.

Terdahulu, peguam Wan Nurliyana Abdul Rahman yang mewakili Neelofa memberitahu pemberita  kesemua pihak telah mencapai persetujuan untuk menyelesaikan kes saman tersebut.

Peguam Mohamad Lokman Hakim Abd Rahman, yang mewakili Rotikaya pula berkata kedua-dua pihak  menyelesaikan kes secara baik hari ini, dan penghakiman persetujuan kes itu akan direkodkan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Aliza Sulaiman pada 8 Nov ini.

Neelofa selaku plaintif memfailkan saman terhadap OMM Media selaku defendan pada September lepas, selepas mendakwa defendan telah mengeluarkan dan menyiarkan dua artikel berunsur fitnah terhadapnya di laman web www.ohmymedia.cc.

Dalam pernyataan tuntutan, Neelofa mendakwa penyiaran artikel bertarikh 5 Mac dan 11 April lepas, berhubung pelancaran koleksi tudungnya di Zouk dan juga membabitkan Anugerah Ikon Wanita, telah menyebabkan reputasinya tercemar.

Pelakon itu juga mendakwa artikel yang disiarkan antara lain membawa maksud bahawa beliau telah digugurkan daripada menerima penghargaan yang diberikan oleh kerajaan Malaysia selain menggambarkan dirinya tidak berakhlak dan seorang yang hipokrit.

Neelofa mendakwa artikel berkenaan adalah tidak benar dan diterbitkan oleh defendan tanpa  memberi peluang kepadanya untuk menafikan kenyataan-kenyataan di dalam artikel itu.

Neelofa turut menyaman Rotikaya atas dakwaan menyiarkan artikel berunsur fitnah terhadapnya membabitkan isu sama.

Neelofa

Artikel Lain