suria

“Jangan tanya lagi!” – Ada sebab Nourul Wahab tolak tawaran ‘Gegar Vaganza’

Nourul lebi selesa hiburkan peminat menerusi persembahan pentas dan bukan program nyanyian. Foto Instagram @nouruldepp

PENYANYI Nourul Wahab memberitahu dia pernah dilamar pihak produksi Gegar Vaganza (GV) untuk menyertai pertandingan nyanyian itu.

Bagaimanapun, Nourul berkata dia tidak berminat menyertai program realiti tersebut dan mempunyai pendirian berhubung hal ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Nourul Wahab nyaris dihempap pintu projek perumahan

"Ada tak team GV bertanya saya? Ya ada. Dari musim kedua. Tapi saya menolak. Bukan saja GV, malah program The Voice di Paris, Perancis.

"Sila fahamkan konsep sesuatu pertandingan atau program di televisyen. Tidak semestinya seseorang artis itu perlu sertai semuanya. Ada sesetengah program itu penerbitnya tidak mahu memilih seseorang artis itu atau sebaliknya, masing-masing punyai pendirian.

"Saya hormati semua program televisyen dan radio di Malaysia ini kerana mereka banyak menyokong saya dari awal sehinggalah hari ini," katanya.

Nourul atau Noorul Huda Abdul Wahab, 40, berkongsi pandangannya itu menerusi laman Instagram pada Selasa.

Ia berikutan ramai peminat yang bertanya mengapa dia tidak menyertai pentandingan nyanyian popular tersebut.

Sementara itu, Nourul berkata dia lebih selesa bergelar penghibur pentas dan bukannya dengan menyertai pertandingan semata-mata.

Malah, dia tidak mahu sekadar menjadi artis bermusim kerana terbawa-bawa dengan jenama program tersebut.

Nourul berkongsi pandangan di Instagram.

"Saya lebih suka untuk buat persembahan bukan pertandingan. Ingat, jenama sesuatu program yang dah famous ada musimnya. Saya tak mahu jadi artis bermusim. Biarlah untuk semua musim.

"Bukan nak tunjuk hebat. Saya tidak sehebat mana. Seperti mana saya terangkan tadi, saya masih belajar. Setiap hari. Saya punya prinsip dan perancangan saya. Ianya mungkin bertentangan dengan kemahuan peminat saya. Tapi itu pendirian saya.

"Buat masa ini saya lebih suka menyanyi di persembahan pentas yang diundang syarikat tempatan dan antarabangsa atau untuk aktiviti amal di Instagram ini yang saya sedang jalankan untuk rumah Nurhati. Mohon semua untuk beri sokongan yang seperti selalunya!," jelasnya.

Dalam pada itu, Nourul memohon maaf jika penjelasannya mengenai isu ini menggores hati sesetengah pihak dan berharap tiada lagi yang bertanya mengenai perkara tersebut.

"Maafkan saya. Sekali lagi saya beritahu, ini penjelasannya. Jangan tanya saya lagi. Just come to my show. Insya-Allah lepas bersalin next year kita buat. Masa tu you all datang.

"Saya kasihkan semua penyokong dan peminat saya sebagaimana you all kasihkan saya. Satu hari, i will make you prouder than now. Insya-Allah," katanya.

Nourul Wahab

Artikel Lain