PENYANYI Nabila Razali tidak dapat menyembunyikan perasaan sedihnya apabila lagu nyanyian dia berjudul Pematah Hati gagal tersenarai ke peringkat separuh akhir Muzik-Muzik ke-33 (SFMM33). Menurut Nabila, 26, seperti penyanyi yang lain, dia turut meletakkan harapan untuk melihat lagu itu pergi lebih jauh terutama di pentas berprestij Anugerah Juara Lagu (AJL). “Sejujurnya, sedih juga bila dapat tahu Pematah Hati tak layak ke separuh akhir. Sebelum ini memang saya mengimpikan lagu itu sampai ke pentas AJL. Lebih-lebih lagi bila tengok rakan-rakan lain sudah pernah membuat persembahan di pentas AJL sebelum ini. “Nampaknya impian itu tidak kesampaian tahun ini. Tak apalah, saya anggap masih belum ada rezeki untuk saya beraksi dalam pertandingan berprestij itu,” katanya kepada mStar Online. Nabila pada majlis pelancaran lagu Pematah Hati pada November tahun lalu. Pematah Hati yang menerima hampir 23 juta tontonan di YouTube itu tidak layak tersenarai dalam 30 buah lagu yang akan bersaing di SFMM33 pada bulan depan. Lagu tersebut merupakan ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong. Antara penyanyi yang berjaya melayakkan diri ialah Syamel, Hael Husaini, Haqiem Rusli, Misha Omar, Dayang Nurfaizah, Khai Bahar, Wany Hasrita, Ismail Izzani, Dewi Seriestha dan Aman Aziz. Sementara itu, Nabila berkata kegagalan tersebut tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan perjuangan dalam industri seni. Sebaliknya, dia akan cuba memberi karya yang lebih baik pada single baharu yang akan dilancarkan tidak lama lagi. "Gagal sekali bukan bererti gagal selamanya, saya akan cuba cari lagu yang terbaik dan diterima pendengar. Tak guna pun nak rasa sedih berpanjangan, kita buka buku baru sahaja. "Sebenarnya saya sudah bersyukur lagu tersebut telah membawa saya ke tahap ini, masuk AJL hanya satu bonus. InsyaAllah, doakan semoga satu hari nanti impian saya ini akan tercapai,” katanya yang bakal muncul dengan lagu berjudul Vroom Vroom pada Disember depan.