PENYANYI Amir Jahari memberitahu luahan perasaan kecewa dan putus asanya yang dimuat naik di laman Twitter baru-baru ini disebabkan tekanan sepanjang lapan tahun sebagai anak seni. Amir berkata, dia patah semangat selepas semua usaha yang dilakukan dalam memperjuangkan genre Pop Nusantara seolah-olah tidak diterima masyarakat negara ini. "Saya tulis dan luahan perasaan itu kerana rasa terlalu kecewa dan patah semangat sehingga saya kongsi di laman sosial itu. "Banyak tekanan yang saya lalui terutama sekarang saya bernaung di bawah label sendiri banyak yang kena fikirkan dari segi promosi lagu dan album. "Selain itu persiapan showcase saya November ini yang belum lagi terjual tiket, tekanan-tekanan yang saya hadapi itu membuatkan saya rasa putus asa," ujarnya kepada mStar Online. ARTIKEL BERKAITAN: AF Bukan Penyebab Amir Jahari Dikenali Amir meluahkan rasa di Twitter miliknya Rabu lalu. Amir pada Rabu lalu meluahkan rasa kecewanya terhadap rakyat Malaysia yang tidak menerima genre muzik diperjuangkan selama ini. Dia mula rasa putus asa dan mengakui muzik yang dibawakan tidak mendapat sambutan di negara ini. "Aku rasa hampir putus asa, muzik aku dah lain, susah nak hadam. "Sudah usaha, tawakal ke muzik aku dah tak relevan untuk rakyat Malaysia?" soalnya. Dalam pada itu, penyanyi lagu Aku Juga Manusia ini berkata, Twitt tersebut mendapat perhatian terutamanya peminat dan rakan-rakan dalam industri. Kata-kata sokongan tersebut mengembalikan semangatnya untuk meneruskan perjuangan itu. "Saya baca kata-kata semangat mereka dan tidak sangka ada juga orang yang mendengar dan suka karya-karya saya. "Satu persatu komen positif mereka membuatkan saya bersemangat kembali untuk bangkit," ujarnya. Amir berkata dia akan meneruskan showcase untuk album keduanya pada 10 November depan yang akan diadakan di Livefact Damansara. Tiket berjumlah RM35 yang dikenakan sebagai bayaran adalah termasuk cakera padat album baharunya.