suria

Berkongsi masalah dengan kawan lelaki, takut jadi lain pula! - Haiza

Haiza menyarankan isteri yang berdepan masalah rumah tangga berkongsi masalah dengan teman wanita. Foto Instagram @haizahanafi

PENYANYI Haiza berkata dia mempelajari banyak hal berkaitan rumah tangga setelah menjadi penyampai di stesen radio Kool FM.

Menurut Haiza atau nama sebenarnya Rohaizah Nordin, 38, dia kerap mendengar cerita permasalahan rumah tangga membabitkan pendengar dan rata-rata isu dibangkitkan kerana sikap memendam perasaan.

"Saya selalu membaca kisah rumah tangga dalam akhbar dan sekarang apabila jadi penyampai bagi segmen Borak Kool, selalu juga pendengar berkongsi cerita mengenai masalah rumah tangga mereka.

"Apa yang saya perhatikan, antara punca terjadi masalah rumah tangga adalah kerana tiada komunikasi yang baik dan sikap suka memendam perasaan.

"Kadang-kadang hal remeh pun boleh jadi besar, sudahnya terjadilah 'perang' yang berpanjangan," katanya kepada mStar Online.

Penyampai PHD Kool bersama artis jemputan.

Haiza ditemui semasa Malam Amal Evergreen Melodies, An Evening With Jaafar Onn And Friends yang diadakan di Wow KL, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Haiza merupakan penyampai Pagi Hari di Kool FM (PHD Kool) bergandingan bersama AG dan Muaz bersiaran setiap hari Isnin hingga Jumaat, pukul 6 hingga 10 pagi.

Sementara itu, Haiza menyarankan wanita yang ingin berkongsi masalah rumah tangga mencari teman sejantina untuk meluahkan perasaan tersebut.

Ujarnya, jika berkongsi masalah dengan berlawanan jantina dibimbangi akan menimbulkan masalah lain dan berkemungkinan akan mengeruhkan lagi keadaan.

"Kalau ada masalah peribadi, lebih baik berkongsi cerita sesama teman wanita yang boleh dipercayai kerana kalau kita bercerita dengan lelaki ni takut jadi lain pula.

Haiza bakal muncul dengan lagu dangdut tidak lama lagi.

"Lelaki ni susah nak dibaca, takut ada yang ambil kesempatan, dari asalnya nak bercerita jadi bercinta pula. Makin keruh hubungan suami isteri nanti.

"Tapi kalau nak tahu tentang sifat dan ragam lelaki, eloklah tanya dengan kawan-kawan lelaki sendiri supaya kita lebih faham tentang mereka," katanya.

Bercakap mengenai karier nyanyian, Haiza berkata dia bakal muncul dengan single baharu hasil ciptaan komposer muda tidak lama lagi.

"Insya-Allah, saya akan keluarkan lagu baharu, lagu dangdut. Saya memang perlukan sentuhan orang muda, sebab itu saya pilih komposer ini.

"Menariknya sebab orang tak akan percaya dia mampu buat lagu dangdut dan ternyata hasilnya sangat menakjubkan. Siapa komposer itu? Tunggu ya!

"Kalau boleh saya nak keluarkan lagu tersebut dalam tahun ini juga sebab rasanya tahun ni tak ada lagi lagu dangdut, peminat pun dah ternanti-nanti, apa-apa pun tengok pada keadaan dan kalau sesuai kita lancarkan," ujarnya.

Haiza, Kool FM

Artikel Lain