suria

Maya Ruslee menangis tertekan untuk buat persembahan

Maya sentiasa ingin lakukan yang terbaik.

PENYANYI Maya Ruslee menjelaskan dia berasa tertekan setiap kali mahu membuat persiapan mengadakan persembahan konsert Gegar Vaganza musim kelima (GV5).

Maya atau nama sebenarnya Meyanaliza Ruslee, 42, berkata dia menangis seorang diri apabila memikirkan mengenai persembahan yang bakal dilakukannya itu.

"Sebenarnya ada masa saya menangis seorang diri di rumah. Tertekan... saya menangis sebab takut memikirkan saya boleh ke menyanyi lagu dengan baik?

"Sebab saya tak nak disamakan dengan penyanyi asal dan tidak mahu penyanyi asal itu berkata negatif mengenai persembahan saya.

"Setiap kali saya balik dari sesi latihan penuh, saya berfikir boleh ke saya lakukan. Saya berasa takut dan sedih sangat," katanya kepada mStar Online.


Maya akui tertekan setiap kali sebelum konsert berlangsung.

Maya ditemui selepas tamat konsert GV5 minggu kelima yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada malam, Ahad lalu.

Dalam persaingan minggu kelima, Maya menduduki tempat kedua dengan persembahan lagu nyanyian Francissca Peter iaitu Sekadar Di Pinggiran nyanyian asal Francisca Peter.

Kedudukan itu melayakkan dia untuk mara ke minggu hadapan bersama peserta lain iaitu Noryn Aziz, Dia Fadila, Forteen, Farawahida, Hetty Sarlene, Amelina dan gandingan Billyzulkarnain sementara Zamani dimasukkan selepas mendapat imuniti daripada Datuk Aliff Syukri.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Matahari ini bersyukur orang sekeliling serta guru vokalnya, penyanyi Ernie Zakri sentiasa memberi sokongan dan membuatkan dia kembali bersemangat.

Orang sekeliling Maya penguat semangatnya.

Kata Maya, juri-juri tetap GV5 iaitu Datuk Ramli MS dan Datuk Khatijah Ibrahim turut memberi kata-kata positif kepadanya dan peserta lain.

"Alhamdulillah saya bersyukur ada orang keliling yang sentiasa memberi sokongan. Tok Ram pun selalu beri kata-kata positif kepada saya dan peserta lain.

"Juri-juri tetap juga banyak memberi kata-kata positif kepada saya dan peserta lain. Sekarang ini saya masuk kelas vokal bersama penyanyi Ernie Zakri dan dia banyak memberi sokongan.

"Mereka semua ini yang menjadi penguat saya untuk meneruskan persembahan dengan baik kerana mereka percaya saya boleh lakukan," ujarnya.

Maya akan menyampaikan lagu Hatinya Tak Tahan nyanyian asal penyanyi terkenal Noraniza Idris pada minggu keenam GV5.

Maya Ruslee

Artikel Lain